Calon Barisan Nasional (BN) N. 16 Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi beramah mesra dengan penduduk orang asli pada Program Ziarah Kasih Masyarakat Orang Asli sempena kempen Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Kampung Ulu Mampas, Terachi, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 30 JULAI 2023.

KUALA PILAH – Sukar untuk Barisan Nasional (BN) meneruskan usaha membantu rakyat sekiranya gabungan parti politik itu menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Calon BN bagi kerusi DUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi berkata, lebih mudah untuk bekerjasama membangunkan agenda memadanikan masyarakat sekiranya BN dan Kerajaan Perpaduan dikekalkan.

BN rakyat
Calon Barisan Nasional (BN) N. 16 Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi menyantuni orang asli, Jura Emgong (kanan) pada Program Ziarah Kasih Masyarakat Orang Asli sempena kempen Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Kampung Ulu Mampas, Terachi, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 30 JULAI 2023.

Menurut beliau, pembangunan yang dirancang bukan sahaja dari segi infrastruktur malah termasuk usaha meningkatkan pengetahuan masyarakat dalam pelbagai aspek.

“Kita mengakui kerana sebelum ini BN dah berpengalaman menjadi pembangkang tetapi rakyat tetap jumpa dengan wakil rakyat BN.

“Walaupun kita ketika itu pembangkang, mereka menganggap kita sentiasa boleh membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas program ziarah kasih bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Ulu Mampas dan Kampung Mampas Kecil, Terachi di sini hari ini.

Muhammad Sufian, 41, merupakan muka baharu bagi menggantikan Datuk Abd Samad Ibrahim yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti selama tiga penggal berturut-turut.

Beliau yang lebih dikenali dalam kalangan masyarakat setempat sebagai Ustaz Sufian berdepan pertembungan satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Jamali Salam.

Lulusan Sarjana Pengajian Kenegaraan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Al-Azhar itu turut memegang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah.

Sehubungan itu, Muhammad Sufian berharap agar gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) diberi mandat untuk terus mentadbir Negeri Sembilan selepas PRN.

“Dengan izin Allah, kalau ditakdirkan tubuh kerajaan, kita akan terus kembali berbakti dan bekerja untuk membantu rakyat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast