Sufian
Calon Barisan Nasional (BN) N. 16 Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi beramah mesra dengan penduduk orang asli pada Program Ziarah Kasih Masyarakat Orang Asli sempena kempen Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Kampung Ulu Mampas, Terachi, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 30 JULAI 2023.

KUALA PILAH – Masalah berkaitan infrastruktur khususnya gangguan bekalan air dan liputan internet akan diberi keutamaan oleh calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi.

Menurut beliau, masalah gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk sejak sekian lama perlu diselesaikan segera terutamanya oleh kerajaan negeri.

Muhammad Sufian  akan berbincang dengan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) berhubung masalah tersebut.

“Air adalah satu keutamaan kepada masyarakat, orang kampung cakap biarlah tak ada elektrik tetapi air kena ada,” katanya kepada pemberita selepas program ziarah kasih bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Ulu Mampas dan Kampung Mampas Kecil, Terachi di sini hari ini.

Berhubung isu liputan internet kurang memuaskan, beliau berkata, ia akan dibincangkan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Muhammad Sufian difahamkan, sebuah syarikat telekomunikasi telah diberi kebenaran untuk membina menara berhampiran Kampung Ulu Mampas.

“Saya harap dalam masa terdekat dapat disegerakan untuk membantu masyarakat di sini menerima maklumat. Mereka pun perlukan maklumat kerana ada yang menjalankan perniagaan dalam talian,” jelasnya.

Beliau menambah, isu-isu infrastruktur yang lain seperti jalan rosak dan sistem perparitan akan dipanjangkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast