SUNGAI BESAR – Penempatan semula komuniti peniaga Pasar Sungai Haji Dorani ke kompleks Bazar Dorani Perdana di sini menjadi mimpi ngeri apabila daya tarikan kian hilang.
Pasar basah yang terkenal kerana hasil lautannya segar dan harga berpatutan kini bagaikan telur di hujung tanduk kerana masih gagal menarik pengunjung dari luar sejak tiga tahun lalu.
Tinjauan MalaysiaGazette ke Bazar Dorani Perdana di sini mendapati, masih terdapat banyak tapak niaga yang kosong dan keadaan pasar awam itu sangat lenggang daripada kehadiran pengunjung.
Menurut seorang peniaga, Salmah Saleh, 62, keadaan itu bukan baharu bahkan sudah berlarutan sejak dia dan peniaga-peniaga lain pindah ke kawasan perniagaan baharu itu, tiga tahun lalu.
“Pelik, sejak saya masuk dalam (Bazar Dorani Perdana), memang tak ada orang, sudah tiga tahun saya masuk sini, tak ada orang, macam inilah saya berniaga secara kecil-kecilan.
“Kita minta papan tanda pun tak nak bagi, pasang papan tanda kat tepi jalan satu, sebelah sini satu, Insya-Allah mungkin orang datang.
“Kalau macam ini juga cara dia, memang tidak ada orang masuk,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Salmah mendedahkan, sejak dipindahkan ke kompleks baharu itu, dia kehilangan jualan kira-kira RM700 sehari.
“Dua hari ini adalah sikit (pendapatan) tapi tak berapa sangat, kalau tepi jalan dulu RM1,000 sehari pun boleh dapat.
“Sekarang dekat sini nak cari RM200-RM300 pun sakit, memang tiada. Masuk ke mari, kami tak dapat apa-apa.
“Sekali masuk ada dua atau tiga orang, tak ramai, kalau yang masuk berpuluh orang, seronok sikit, ini tak ada,” katanya.
Peniaga makanan, Mohd Shukor Siran, 55, mendakwa ketiadaan suasana kampung yang ada dalam Pasar Sungai Haji Dorani sebelum ini menyebabkan ramai pengunjung luar beralih ke pasar basah lain.
“Orang luar kadang-kala tercari-cari, sebab dulu pasar basah tepi jalan sini ramai, meriah macam pasar pagi.
“Bila orang luar cari (pasar) tak ada, mereka pun kurang minat nak datang sini.
“Bukan sahaja tak ada papan tanda, tapi tiada suasana, kalau sekarang ini agak formal, jadi tak berapa menarik.
“Pengujung nak keadaan pasar yang semula jadi (kampung),” katanya.
Mohd Shukor berkata, kurangnya promosi antara sebab Bazar Dorani Perdana kurang dikenali pengunjung dan pelancong luar dan tiada aura untuk menarik pelanggan kembali ke membeli-belah di situ.
“Kena ada promosi, macam kat pantai batu 23, JKKK sana mereka promosikan untuk naikkan ikan, serah dekat jeti. Sebelum ini, kat sini pun kita ada buat promosi.
“Naik (hasil laut)) tengah hari, petang kita jual, itu yang segar, sebab itu orang datang bawa bekas polisterin, orang bawa balik ke sana (KL)
“Ramai orang yang jual ikan pun dah sudah berhenti, terpaksa jual lain, tak boleh tahan,” katanya.
Sementara itu, bagi pembekal hasil tani kampung, Hafsah Omar @Siti Zainah Misnadi, 78, pembinaan pembahagi jalan di Jalan Kuala Selangor – Teluk Intan menghalang pengunjung singgah untuk membeli-belah hasil laut di situ.
“Masa jalan sana (gerai tepi jalan), memang meriahkan, orang luar semua datang, dari sana boleh masuk ke mari, sekarang sudah ada tembok (penghadang jalan),” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Niaga tepi jln boleh dapat 1000 sehari ???
Bagaimana cukai adakah dikutip LHDN.
Sekarang 200-300 sehari, sebulan ??? setahun ???