Dr Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Anak muda yang layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini diingatkan tidak terikut permainan politik lama yang dibawa oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh berkata, mereka harus bijak dan cerdik dalam membuat keputusan memilih calon pada 12 Ogos ini dengan mengekalkan kerajaan negeri pimpinan PH-BN.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini PH dan BN adalah musuh, tetapi hari ini kedua parti gabungan itu telah menjadi kawan yang bersama melawan Pas dan parti Bersatu dari PN.

“Betul, saya tak boleh duduk dengan YB Adam (Adli), saya tak boleh duduk dengan YB Fahmi (Fadzil), tapi itu dulu. Hari ini, masa memerlukan tanggungjawab kita untuk mengetepikan perbezaan. Kita kena utamakan soal kepentingan negara dan rakyat.

“Jadi, orang muda kena cerdik dan matang. Pilihan di tangan kita. Kita dah muak dengan permainan orang politik. Dulu mereka (parti Bersatu) kata orang ini (Pas) tak betul, orang ini ajaran sesat, tetapi hari ini dia kata orang ini betul pula, cukuplah.

“Begitu juga, ada satu pihak menyatakan merekalah paling Islam dan paling Melayu, pada masa sama, mereka hina orang Melayu dan mereka juga mengkafirkan orang Islam lain,” katanya pada program Pentas Geng Perpaduan di TheStrand, Kota Damansara, malam tadi.

Kata Dr. Akmal, sudah sampai masanya, rakyat terutama anak muda mengekalkan kerajaan yang bercakap mengenai kualiti dan dasar kerana pimpinan ini yang boleh memberi jaminan mewujudkan peluang pekerjaan dan memulihkan ekonomi negara.

“Ini bukan soal parti politik lagi. Ini soal masa depan anda selaku generasi muda. Kalau kita tidak habis-habis bergaduh, sampai bila politik negara kita nak stabil?

“Cukuplah lima tahun yang sudah, kita tak habis-habis dengan politik, tukar perdana menteri sampai tiga kali. Kita tamatkan permainan ini. Kita beri kepercayaan kepada kerajaan perpaduan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast