Datuk Akbar Salim

RANTAU PANJANG – “Anok kapong untuk ore kapong,” (Anak kampung untuk orang kampung), itulah slogan yang dibawa oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Apam Putera, Datuk Akbar Salim.

Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang yang berusia 47 tahun itu, dipilih oleh pucuk pimpinan parti bertanding di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN 12 Ogos ini, dengan harapan dapat membawa perubahan kepada rakyat di Apam Putera dan Rantau Panjang khususnya.

Beliau antara dua pimpinan UMNO Bahagian itu yang dicalonkan berlawan dengan penyandang dari Pas dengan seorang lagi, Anuar Mohamad di DUN Gual Periok.

“Slogan ini saya pilih sesuai dengan matlamat BN untuk membawa kestabilan dan kemakmuran di Kelantan,” kata individu lulusan Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Kota Bharu, Kelantan.

Akbar tidak asing bagi penduduk pekan Rantau Panjang kerana terlibat secara langsung dalam politik sejak 2008 sebagai ahli jawatankuasa Pemuda Bahagian itu sehingga 2013.

Kemudian beliau memegang jawatan Ketua UMNO Rantau Panjang dari 2018 sehingga kini, selain dilantik sebagai Bendahari Badan Perhubungan UMNO Kelantan selama dua tahun sehingga 2020 dan kini Setiausaha UMNO Kelantan.

Akbar yang berperwatakan sederhana dalam kepimpinannya banyak menghabiskan masa di lapangan untuk mendengar dan cuba sedaya upaya menyelesaikan permasalahan rakyat, tidak kira waktu.

Kini, peluang untuk rakyat yang juga pengundi DUN Apam Putera membuat perubahan dengan memilihnya sebagai wakil rakyat bagi penggal ke-15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast