Calon Barisan Nasional (BN) N.08 Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid beramah mesra bersama penduduk selepas sarapan pagi sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Kedah di Kampung Kubang Kenyeng, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2023.

PADANG TERAP – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan  Kedah, Sultan Salahuddin Badlishah untuk memilih siapa yang akan dipilih sebagai menteri besar yang baharu sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas 12 Ogos.

Pengerusi PH-BN, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana negeri Kedah mempunyai Sultan dan senarai calon menteri besar akan dipersembahkan kepada Sultan Kedah terlebih dahulu.

“Kalau bawa tiga nama, biarlah Sultan Kedah yang perkenan daripada kita uar-uarkan, sebab insiden ini pernah berlaku di negeri lain,” katanya dalam sidang media selepas walkabout bersama pengundi di Kampung Kubang Kenyeng, pagi tadi.

Ditanya sama ada nama beliau turut akan dicalonkan, Mahdzir hanya berkata: “Saya menjadi Pengerusi BN Kedah, saya juga Pengerusi UMNO Kedah.

“Saya juga Pengerusi PH-BN Kedah, setakat itu yang saya nak katakan,” kata beliau lagi.

Pada 17 Julai lalu, Mahdzir berkata, BN Kedah menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti dalam menentukan siapa calon menteri besar yang akan dipilih sekiranya Kerajaan Perpaduan menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah kali ini.

Semalam,  Pas Kedah memutuskan hanya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menjadi calon Perikatan Nasional (PN) untuk jawatan Menteri Besar bagi negeri itu.

Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahya, setakat hari kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini, tiada calon kedua, selain Sanusi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast