CALON Pakatan Harapan (PH), Ong Ah Teong menyifatkan laluannya bagi mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lanchang yang disandangnya bukan sesuatu yang mudah meskipun mendapat respon positif daripada rakyat kawasan itu.

Jelas bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu, beliau perlu terus berusaha keras demi memastikan setiap pengundi berpihak kepada PH menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) pada 12 Ogos nanti.

Namun dalam masa sama beliau yakin, pelbagai pembaharuan dilakukan di kawasan Batu Lanchang dalam tempoh lima tahun sebagai wakil rakyat termasuk menyegerakan projek tebaran banjir, masalah kesesakan lalu lintas serta basmi kemiskinan bandar akan dijadikan kayu pengukur oleh rakyat dalam memilih wakil rakyat mewakili mereka untuk lima tahun mendatang.

Dalam tempoh lima tahun jadi wakil rakyat apa yang telah dilaksanakan?

Masalah yang membelenggu penduduk kawasan Batu Lanchang sejak berpuluh tahun lalu telah diselesaikan dalam tempoh lima tahun saya menjadi wakil rakyat kawasan ini.

Antara yang diselesaikan ketiadaan bekalan elektrik selama dua hingga tiga hari untuk beberapa kali dalam tempoh setahun di seluruh kawasan Taman Hijau, Mewah Court. Selain itu, projek tebatan banjir yang menelan kos lebih RM5 juta di Jelutong.

Selain itu, saya kenal pasti 300 orang dalam kawasan ini dan beri mereka baucer pembelian barang asas bernilai RM30 setiap bulan dan ia perlu dibeli di Pasar Batu Lanchang, Jelutong dan Jalan Perak yang mana secara menjadi situasi menang-menang kepada penduduk dan peniaga kecil kawasan saya.

Jika banyak sudah diselesaikan dalam tempoh lima tahun, apakah perancangan masa depan  sebagai wakil rakyat di kawasan sama?

Jika sebut Pulau Pinang ramai kenal George Town, Pulau Tikus, Balik Pulau atas keunikan tempat itu jadi saya menanamkan misi untuk mengangkat nama Batu Lanchang ini supaya ia juga dikenali penduduk tempatan serta pelancong.

Ini akan menjadi cabaran terbesar saya untuk lima tahun mendatang kerana sekiranya kawasan ini dikenali ia akan menjana lebih banyak ekonomi kepada penduduk, peniaga serta kerajaan negeri.

Tidak terkecuali, saya juga perlu menyelesaikan masalah pembinaan kompleks pasar baharu di Jalan Perak yang mana pemberian tendernya tergantung disebabkan pandemik Covid-19 serta tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan MBPP.

Adakah pemilihan wakil rakyat dalam kalangan bekas Ahli Majlis sesuatu yang bagus?

Pada pendapat saya, memilih Ahli Majlis sebagai wakil rakyat merupakan pilihan bagus kerana ia menjadi batu loncatan dalam karier politik apabila ahli majlis mempunyai pengalaman dalam mengadakan perbincangan antara kerajaan negeri dan rakyat untuk menyelesaikan sesuatu isu.

Sebagai contoh, saya sendiri tidak perlu menunggu sidang Dewan Undangan Negeri untuk mengusulkan segala masalah membabitkan kawasan Batu Lanchang kerana yang mana membabitkan MBPP saya akan dapatkan pengarah atau pegawai berkaitan untuk membantu saya menyelesaikan isu tersebut.

Boleh kongsikan sedikit pandangan mengenai pencabar kerusi Batu Lanchang yang merupakan calon Melayu tunggal daripada Gerakan (PN)?

Saya memang tak akan berpandang rendah terhadap pencabar saya cuma jika ditanya apa relevan letakan calon Melayu di sini, saya rasa itu terpulang kepada parti dia (PN).

Parti (PN) yang memilih dia untuk datang ke sini dan kita kena hormati apa yang dipilih oleh parti beliau. Kalau dia rasa tak selesa di sini (Batu Lanchang) dia kena tanya semula kepada Presidennya.

Paling penting untuk saya adalah berusaha seboleh mungkin untuk mendapatkan undi daripada penduduk sini.

Untuk rekod, DUN Batu Lanchang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon DAP Ong Ah Teong mewakili PH manakala calon tunggal Melayu daripada Gerakan mewakili Perikatan Nasional, Mohd Aswaad Jaafar. – MalaysiaGazette