KUALA LUMPUR – Keputusan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak menyertai pertandingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN di enam negeri membuktikan kepimpinan presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali yang bersifat matang dalam politik.
Malah penyertaan parti itu di dua PRN Melaka dan Johor serta PRU15 tahun lalu merupakan langkah tepat Putra sebagai memperkenalkan diri kepada rakyat di samping melatih ahli dan pimpinannya menghadapi pilihan raya sebenar.
Presiden Perkasa, Syed Hasan Syed Ali berkata, tindakan berstrategik Ibrahim atau dikenali Tok Him itu merupakan satu langkah bijak dengan perhitungan politik jangka panjang Putra.
“Bagi Putra, PRU-16 empat tahun akan adalah perhitungan sebenar Putra apabila dalam tempoh itu sudah mampu berlari dengan usia lapan tahun.
“Tok Him tak pernah harap pada sesiapa dalam perjuangannya kecuali Allah. Tubuh parti sendiri dan jadi presiden sendiri. Ada orang kata dia syok sendiri? Terpulanglah. Daripada masuk parti penuh dengan perasuah lebih baik buat parti sendiri.
“Dari awal perjuangan semasa di menara gading, kemudian melalui politik, tidak sedikit pengalamannya sedangkan rakan politiknya semakin rakus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Syed Hasan, kecekalan Ibrahim ialah memperjuangan isu biasiswa, kalimah Allah, pertahankan penceramah bebas antarabangsa, Dr. Zakir Naik di mahkamah dan bersuara isu Tanah Rizab Melayu melalui penubuhan badan NGO, Perkasa.
Kata beliau, demi ekonomi Melayu pula, Tok Him menganjurkan Konvensyen Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 1 dan 2, perhimpunan Raja Berdaulat Rakyat Sejahtera dan berterusan menyerang persatuan Dong Zong.
“Beliau juga menubuhkan Tabung Kemanusian Pelajar Melayu di Mesir, mengetuai Kongres Ekonomi Melayu 2010, mengetuai Konvensyen Perpaduan Negara menentang Majlis Konsultansi Negara yang penuh dengan fahaman liberal, selain orang terawal mendesak kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal 1MDB,” katanya.
Mengenai dakwaan Ibrahim sentiasa memilih jalan silap dalam perjuangannya, Syed Hasan berkata, tindakannya menyokong Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan secara membabi buta.
Malah, ujarnya, Ibrahim sanggup tinggalkan parti yang disertainya jika dirasakan matlamat perjuangan parti itu terpesong.
“Pada saya dan Perkasa amnya, Tok Him adalah satu-satu pemimpin yang konsisten menolak DAP, sebab itu dia tidak masuk parti Bersatu pada awal penubuhan kerana dalamnya ada DAP.
“Orang lain yang menyertai parti itu semuanya hipokrit dan munafik. Tok Him tidak suka retorik kerana disifatkan seperti menang sorak kampung tergadai.
“Dia juga dapat tidur nyenyak kerana namanya tidak ada dalam senarai SPRM mahu pun di mahkamah. Dia kekal bersih serta berakhlak,” katanya. – MalaysiaGazette