Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail boleh menyemak sendiri bilangan pelancong China yang tidak pulang ke negara asal selepas masuk ke Malaysia, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebagai menteri, katanya, Saifuddin mempunyai kuasa untuk menyemak data yang disimpan oleh Kementerian Dalam negeri.

“Menteri boleh semak data dalam simpanan KDN. Yang punyai maklumat ialah KDN dan menteri. Tiap tahun Kerajaan isytihar jumlah pelancong yang masuk. Kerajaan tentu tahu jumlah yang keluar. Kenapa tanya saya.

“Teknologi kini memboleh data dikutip di semua pintu masuk dan pintu keluar negara. Tiap pelancong perlu tunjuk passport yang mempunyai butiran yang cukup,” kata Mahathir dalam kenyataan.

Mahathir mengulas kenyataan Saifuddin sebelum ini bahawa beliau individu paling tepat untuk mengesahkan sejumlah 1.5 pelancong China tidak pulang ke negara asal.

Ini kerana, menurut Saifuddin, Mahathir adalah individu yang membangkitkan isu itu dan bukan tugas kerajaan untuk membuktikan perkara tersebut.

Mahathir berkata, data yang tersimpan dalam KDN tidak memberi sebarang manfaat sekiranya menteri tidak boleh mendapatkan maklumat berkenaan.

Tambahan menurut Mahathir, angka 1.5 juta tersebut dilaporkan sendiri oleh media berdasarkan kenyataan menteri di dalam Parlimen.

“Bukankah menjadi tanggungjawab KDN dan menteri menghitung siapa yang masuk dan siapa yang keluar.

“Jika saya diberi akses kepada semua rekod saya boleh bukti. Tetapi untuk semak rekod-rekod yang disimpan oleh Kerajaan bayarannya amat tinggi. Ia seolah kerajaan ingin sembunyi data.

“Apa gunanya rekod jika menteri pun tidak dapat maklumat akan data di dalamnya,” soal Mahathir dan menegaskan rakyat berhak untuk mengetahui data sebenar.

Pada 21 Julai lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, KDN tidak dapat membuktikan dengan tepat berhubung dakwaan kononnya terdapat jutaan pelancong China yang tidak pulang ke tanah asal.

Menurutnya, isu itu bukan perkara baharu, sebaliknya ia rancak dibongkarkan Mahathir sebelum pilihan raya 2018 yang lalu.- MalaysiaGazette