KUALA LUMPUR – Pemerolehan aset pertahanan negara tidak lagi boleh melibatkan pihak luar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sewajarnya urusan pemerolehan aset bagi mempertahankan kedaulatan negara diuruskan sendiri oleh kepimpinan tertinggi angkatan tentera.

Anwar berkata, untuk itu, sistem pemerolehan aset pertahanan negara perlu dirombak sekali gus memastikan proses itu dilaksanakan secara lebih telus.

“Walaupun tahun ini saya tekankan soal kelengkapan tentera, jadi kita anjurkan kepada pimpinan supaya sistem perolehan pertahanan negara mesti dirombak. Tidak boleh lagi campur tangan pihak luar.

“Ketua-ketua Turus (Angkatan Tentera Malaysia) dipertanggungjawabkan pilih yang terbaik. Kapal perang, pesawat, tank dan kelengkapan lain mesti yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM di Wisma Perwira hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Anwar berkata, sistem perolehan tentera tidak seharusnya mengulangi kerenah terdahulu yang didakwa melakukan ‘rompak’ melalui komisen secara keterlaluan sehingga menyebabkan kelengkapan yang diperoleh mempunyai kekurangan daripada segi keupayaan mempertahankan negara.

Perdana Menteri turut mengajak semua pihak untuk membuat komitmen baharu menyelamatkan negara serta menentukan pasukan keselamatan mendapat kelengkapan pertahanan yang canggih dan terbaik tanpa campur tangan pihak luar.

“Mengapa saya pilih perkara ini? Kerana bagi veteran pasukan tentera dan semua rakyat kesiapsiagaan negara dalam bidang pertahanan ini satu perkara yang penting,” tegasnya.

Serentak itu beliau memohon supaya veteran tentera untuk mendukung hasrat tersebut bagi menjamin keamanan dan keselamatan negara.

Pada majlis tersebut, Anwar turut menyerahkan Geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar bernilai RM5,000 kepada lima veteran tentera.- MalaysiaGazette