SHAH ALAM – Perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bukan sekadar kosmetik politik dan gambaran untuk mengaburi mata rakyat.
Sebaliknya menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, perpaduan kedua-dua parti tersebut terjalin demi kepentingan rakyat yang memerlukan kestabilan sebuah kerajaan.
“Dalam lebih 200 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri ternyata semangat Kerajaan Perpaduan bukan hanya pada istilah tapi ini membuktikan tidak ada satu pun kerusi DUN yang kita bertembung.
“Ini menandakan bahawa Kerajaan Perpaduan benar-benar wujud demi kepentingan ummah dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pelancaran Tawaran Kita Selangor 5 Tekad untuk 5 Tahun dan Sesi Pengenalan Calon-Calon Perpaduan Selangor.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari merangkap Pengerusi PH Selangor.
Sehubungan itu, Megat Zulkarnain mahu semua jentera parti menyebarkan mesej kepada para pengundi tentang pentingnya untuk menyokong Kerajaan Peraduan di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Jelas beliau, para pengundi perlu diterangkan betapa pentingnya menolak politik perbalahan, cacian dan makian yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN).
“Kepada jentera-jentera jangan berhenti. Pulang nanti ke 56 kawasan DUN, teruskan bekerja dekati rakyat sampaikan mesej bahawa politik perpaduan yang kita bawa adalah model terbaik yang mesti diangkat, dijunjung di Selangor untuk kepentingan bersama.
“Pastikan kita tolak perbalahan, cacian dan hinaan yang dibawa oleh mereka. Tidak ada tempat untuk mereka di bumi Selangor ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette