Bendera parti politik dirosakkan dalam kejadian di Penati, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menerima tiga laporan berkaitan perbuatan khianat dan merosakkan bendera parti membabitkan tiga daerah di negeri ini sejak Sabtu hingga tengah malam tadi.

Jurucakap Media Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner W. Puspanathan berkata, masing-masing satu laporan diterima pihaknya di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Utara (SPU) dan Barat Daya.

Puspanathan (tengah) menunjukkan gambar bendera parti yang dirosakkan pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat berhubung insiden berkenaan setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat.

“Selain itu, bermula tempoh kempen PRN sehingga semalam, kita juga telah meluluskan sebanyak 79 permit kepada parti-parti bertanding mengadakan ceramah

“Tiada permohonan permit ceramah ditolak setakat ini namun kita menasihati semua parti politik yang bertanding untuk memohon permit lebih awal supaya tiada masalah dari segi kelulusan,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Puspanathan turut menegaskan pihaknya tidak mengesan atau  menerima sebarang maklumat membabitkan kewujudan elemen perjudian sepanjang proses PRN negeri ini setakat ini.

“Bukan saja itu, tiada laporan polis juga diterima setakat ini berkaitan kesalahan menyentuh mengenai isu agama, kaum dan raja (3R) sepanjang waktu berkempen.

“Kita harap keadaan ini kekal sehingga selesai PRN dan kita juga ingatkan semua pihak yang supaya tidak membuat provokasi yang boleh mengganggu proses demokrasi negara ini.

“Ahli politik juga diminta supaya mengawal penyokong setiap parti agar tidak melakukan apa-apa perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang dan peraturan,” katanya. – MalaysiaGazette