Calon PN Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin bersantai di kawasan perumahan sambil ziarah penduduk di sekitar AU5.

KUALA LUMPUR – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin dengan mandat yang bakal diberikan pengundi di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Beliau yang merupakan Pengarah Pilihan Raya PN Selangor berkata, mandat itu telah diberikan sejak 1999 yang mana penduduk Hulu Kelang adalah keluarganya dan sebahagian besar daripada pengundi dan penduduk mengenalinya sejak sekian lama.

“Bukan sahaja saya anak jati sebaliknya rata-rata penduduk juga amat mengenali dan mengetahui prestasi kerja di Hulu tidak kira ianya berkaitan infrastruktur pembangunan dengan pelbagai pembinaan seperti sekolah, masjid surau, rumah ibadat dan pembangunan lain.

“Tidak lupa juga dengan pembangunan komuniti yang telah saya wujudkan selama saya berada di sini. Kita telah tangani pelbagai isu dengan baik. Pada saya, mandat dan kuasa itu ada pada keluarga besar saya ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada sesi ziarah penduduk di Keramat , di sini, hari ini.

Kata Menteri Besar Selangor, prestasi kerja beliau selama beberapa penggal akan membolehkan pengundi akan memberi sokongan kepadanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menolak andaian kelebihan sebagai calon wanita akan memberi kelebihan kepada lawannya, Juwairiya Zulkifli dari Pakatan Harapan (PH).

“Semua undi penting, wanita dan juga lelaki. Yang penting adalah soal kepimpinan yang mana pemimpin itu di pilih kerana beliau mempunyai dasar, visi misi untuk membantu dan membela rakyat di kawasan tersebut yang terdiri daripada kalangan wanita, lelaki, orang Melayu, India, Cina atau lain-lain di situ.

“Bagi saya dan PN secara amnya, dasar untuk kita bukan hanya bela satu-satu kaum atau gender sebaliknya dasar, keprihatinan dan peduli terhadap rakyat. Apa yang dilaksanakan adalah untuk semua,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Hulu Kelang dimenangi Saari Sungib dari Parti Amanah Negara yang mewakili PH dengan majoriti 15,349 undi selepas meraih 25,746 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Ahmad (10,397 undi) dan calon Pas, Farhan Kamalul Hysham (7,573 undi). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast