Calon Barisan Nasional (BN) N.08 Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid beramah mesra bersama penduduk ketika sarapan pagi sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Kedah di Kampung Kubang Kenyeng, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2023.

PADANG TERAP – Penduduk Pedu di Parlimen Padang Terap mengharapkan agar calon Barisan Nasional (BN) kembali dipilih mewakili mereka.

Malah rata-rata pengundi masih mengenali Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mesra sebagai Tok Det sebagai Menteri Besar Kedah kerana jasa yang ditaburkan kepada penduduk khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu.

Bagi Mohamad Rafiq Othman, 26, sesiapa yang tidak kenal Tok Det, mereka boleh dianggap bukan pengundi serta penduduk Pedu.

Mohamad Rafiq Othman. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2023.

“Memang kenal sangat, bagi pendapat saya beliau adalah orang lama dalam politik, jadi penduduk Pedu sudah kenal beliau lama dia.

“Banyak manfaat yang telah beliau bagi kepada rakyat DUN Pedu, rakyat sini dapat rasa banyak pembangunan yang beliau bawa kepada penduduk. Kalau pengundi tak kenal Tok Det memang bukan pengundi di Padang Terap,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Calon Barisan Nasional (BN) N.08 Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid beramah mesra bersama penduduk ketika sarapan pagi sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Kedah di Kampung Kubang Kenyeng, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2023.

Abdul Razak Omar, 59, pula mengharapkan agar Mahdzir kembali ke DUN Pedu yang merupakan kawasan pertama yang ditandingi oleh Madhzir.

Abdul Razak Omar Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2023.

Jelasnya, penduduk di kawasan ini amat kenal dengan beliau dan merupakan seorang wakil rakyat yang prihatin kepada penduduk.

“Sangat kenal, orang dia berlembut, prihatin dan paling bagus di kawasan ini. Beliau adalah orang yang boleh buat kerja. Kerja-kerja dia semua memuaskan dan ramai yang sanjung, masa dia di Kementerian Luar Bandar semua dia selesaikan masalah di kampung ini.

“Masa PRU15 dia kalah tapi masih bantu rakyat walaupun kalah, tidak kata dia jarakkan diri daripada pengundi,” jelas Abdul Razak.

Zambri Musa, 44, pula berkata, Mahdzir banyak menabur jasa kepada pelbagai lapisan masyarakat di Pedu taktala menjawat jawatan Menteri Besar dan Menteri Kabinet.

Zambri Musa. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2023.

Malah beliau melahirkan keyakinan Mahdzir akan dapat merampas kembali kerusi DUN Pedu daripada Perikatan Nasional (PN).

“Kami pengundi sinonim dengan Tok Det, kenal dia sudah lama sejak mula bertanding di sini dulu. Jasa dia banyak kepada penduduk Padang Terap, dalam kalangan anak muda, orang tua dia banyak membantu kerana dia pernah jadi Menteri Besar.

“DUN Pedu dia akan menang sebab kalah tidak banyak sangat masa PRU15, mungkin gelombang tidak ada sangat macam dahulu,” kata Zambri.

Seorang peniaga kedai makan, Siti Rosnah Abdul Wahab, 34, berpendapat, Mahdzir banyak memberikan bantuan kepada penduduk yang menghadapi masalah kewangan khususnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang masih bersekolah.

Siti Rosnah Abdul Wahab

Katanya, Mahdzir sentiasa turun padang dan tidak jemu mendengar masalah rakyat malah beliau sering dicari oleh penduduk setempat bagi menyelesaikan masalah mereka.

“Kenal sangat sebab dia rapat dengan rakyat dan selalu turun padang bertemu kami, malah dia selalu buat aktiviti untuk penduduk setempat.

“Dia banyak bagi bantuan, walaupun dia sudah tidak pegang jawatan ahli Parlimen, macam-macam dia bagi macam bantuan persekolahan,” katanya lagi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah itu dicalonkan BN untuk bertanding semula DUN Pedu selepas 15 tahun meninggalkan kerusi itu.

Bekas Menteri Besar Kedah itu dicabar penyandang kerusi berkenaan, Mohd Radzi Md Amin dari PN dalam pilihan raya negeri kali ini. – MalaysiaGazette