KUALA LUMPUR – Polis Selangor tidak menerima laporan mengenai kempen Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) yang melanggar peraturan atau undang-undang.
Bagaimanapun menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihaknya akan terus memantau kempen dan ceramah yang diadakan.
“Bagi memastikan setiap kempen atau ceramah yang dijalankan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan, polis Kontinjen Selangor membuat pemantauan di setiap kempen atau ceramah yang diadakan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut beliau, sejak bermulanya hari berkempen Sabtu lalu sehingga semalam sebanyak 130 kempen di kawasan Selangor diadakan manakala 51 ceramah diadakan dengan permit.
Sementara itu Hussein berkata, pergerakan eskot dan kawalan kertas undi pos ke lokasi simpanan kertas undi di dalam lokap berjalan lancar dan terkawal.
Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan supaya calon yang bertanding pada PRN15 kali ini dan para penyokong parti supaya mematuhi nasihat, peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh polis dan Suruhankaya Pilihan Raya (SPR). – MalaysiaGazette