Norwani Ahmat
Norwani Ahmat (tengah) memperkenalkan diri kepada orang ramai semasa program ramah mesra di Taman Bukit Sri Senawang, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Norwani Ahmat yakin sokongan pengundi terhadapnya tidak terjejas ekoran tindakan bekas pemimpin muda partinya bertanding sebagai calon Bebas di kawasan yang sama.

Menurut beliau, pengundi lebih bijak memilih calon yang memberi nilai tambah kepada kawasan yang bakal diwakili.

Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan itu berkata, calon yang dilantik oleh parti dilihat membawa aspirasi parti dan kerajaan Pusat.

“Calon parti lebih tahu hala tuju berbanding calon Bebas yang perlu menonjolkan apa yang perlu dibawa kepada masyarakat di DUN Paroi,” katanya kepada MalaysiaGazette pada program bertemu orang ramai di Taman Bukit Sri Senawang, di sini, hari ini.

Norwani yang merupakan calon muka baharu berdepan persaingan tiga penjuru dengan calon PN, Kamarol Ridzuan Mohd Zin dan calon Bebas, Muhammad Syakir Fitri Sadri.

Muhammad Syakir sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani yang juga dari Amanah.

Pengguguran Mohamed Taufek sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dianggap mengejutkan kerana beliau mempunyai rekod prestasi yang baik sepanjang berkhidmat di Paroi.

Norwani menambah, Mohamad Taufek telah membina landasan yang cukup baik bagi membolehkan beliau mewakili PH untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat di DUN Paroi sekiranya menang di kawasan berkenaan.

“Macam kita buat kek, asas tu dah ada, saya ni mencantikkan lagi dan menambah baik apa yang perlu dan memberi nilai tambah,” jelasnya.

Berhubung perancangan memakmurkan DUN Paroi, Norwani berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah penyediaan jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di kawasan Taman Pinggiran Senawang dan Taman Tuanku Ja’afar.

Selain itu, beliau bertekad untuk mewujudkan taska dengan kadar bayaran yang rendah bagi golongan wanita B40 yang bekerja untuk menghantar anak-anak mereka.

“Kadar bayaran taska swasta sedia ada di luar kemampuan mereka,” jelasnya.

Norwani juga akan berusaha untuk menggalakkan sektor perindustrian di sekitar kawasan DUN Paroi menganjurkan lebih banyak program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu penduduk setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast