Saifuddin Nasution Ismail. Foto MOHD ADZLAN, 01 OGOS 2023.

ALOR SETAR – Dakwaan nepotisme seperti melantik ahli keluarga sebagai calon menjelang sesuatu pilihan raya telah menjadi kelaziman kepada PKR.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tuduhan turut dilemparkan kepada partinya itu sejak 1999 ketika bekas Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding di Parlimen Permatang Pauh bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Itu macam biasa dan lumrah. Dalam PKR lebih-lebih lagi dimana tuduhan ini kami sudah berdepan sejak 1999 apabila Anwar dalam penjara dan Wan Azizan dan Nurul Izzah jadi calon.

“Berikutnya Anwar, Wan Azizan dan Nurul Izzah jadi calon, pokok pangkalnya rakyat yang buat pilihan, sekiranya rakyat menolak, maka tolak lah mereka, letak saudara mara macam mana sekali pun, bila proses pilihan raya kita serahkan proses itu kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR Kedah, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas dakwaan nepotisme yang dikaitkan dengan pencalonan anak kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebagai calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, amalan nepotisme sudah diamalkan oleh parti-parti lain selain PKR.

“Semua parti ada salasilah begitu, dalam Pas ada, UMNO ada, PKR, malam Bersatu pun ada.

“Kalau di Kelantan orang akan kenali Nik Amar anak kepada Nik Abdullah Arshad, orang akan kenal Dr Fadhli Exco Kelantan sebagai anak kepada Ustaz Hassan Kaabah, wakil rakyat ketika itu. Ustaz Nasaruddin Daud, adik dia yang bertanding di Kelantan,” ujarnya.

Saifuddin Nasution berkata, amat rugi buat Pakatan Harapan (PH) sekiranya tidak meletakkan calon yang terbaik seperti anak Johari Abdul, Firdaus Johari.

Jelasnya, PKR telah menyediakan calon yang difikirkan boleh menang dan rakyat hanya perlu menterjemahkan itu dalam bentuk undi kepada PH.

“Johari Abdul yang ada anak yang bagus. Tujuh orang doktor dan beberapa orang hafiz, jadi orang macam itu kalau tawarkan diri nak jadi calon dan rakyat akan buat pilihan.

“Dalam konteks PKR, kami sudah berdepan dengan serangan itu berpuluh tahun dan kami serahkan kepada kebijaksanaan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette