Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Debat antara Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman akan berlangsung pada 9 Ogos ini.

Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, Mohd Syahir menarik balik penolakan untuk berdebat berkaitan ekonomi dengan beliau sebelum ini.

“Saya telah dimaklumkan bahawa saudara Syahir telah menerima semula jemputan saya untuk berdebat setelah mendapat keizinan pimpinan beliau. Saya ucapkan terima kasih.

“Platform debat adalah peluang bagi parti-parti membentangkan idea dan tawaran kepada rakyat.

“Maklumat lanjut debat akan dimaklumkan tetapi tarikh setakat ini adalah 9 Ogos 2023,” katanya dalam kenyataan ringkas di media sosial.

Sebelum ini Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu dilaporkan menolak tawaran untuk berdebat mengenai ekonomi negara dengan Rafizi.

Pemilik Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu menjadi ‘sasaran’ Rafizi selepas jemputan debat ditolak oleh bekas Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. – MalaysiaGazette