Calon Barisan Nasional (BN) N.04 Ayer Hitam, Hayazi Azizan selepas bergotong royong mengacau bubur Asyura bersama penduduk kampung semasa mengadakan walkabout sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Kedah di Kampung Lana Bulu, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 30 JULAI 2023.

JERLUN – Petah berkata-kata dan bernas menjadi pertaruhan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Hayazi Azizan, 44, untuk merampas kembali kerusi itu daripada Pas.

Biarpun boleh dianggap baru bertatih dalam arena politik, Hayazi berkata, beliau mempertaruhkan faktor anak tempatan sebagai sandaran untuk dipilih mewakili pengundi pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak.

“Saya keturunan petani yang buat bendang, malah datuk nenek saya adalah petani sawah. Saya harap dengan sedikit kelebihan itu membuatkan saya senang untuk mendekati denyut nadi pengundi di kawasan ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette dalam siri kempen, hari ini.

Memasuki hari keempat kempen, Hayazi berkata, walaupun mod pengundi dilihat berubah-ubah sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN), namun Timbalan Ketua Bahagian UMNO Jerlun itu berkata, ia tidak boleh dipandang remeh.

Jelasnya, pihak penyandang juga tidak seharusnya selesa kerana pada Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu, Pas hanya memperoleh 537 undi.

“Saya tidak mahu jadikan itu sebagai batu ukuran untuk jadi batu penghalang kepada saya dekati pengundi dan masyarakat. Saya nak ambil itu sebagai satu cabaran bagi meyakinkan pengundi supaya noktah kejayaan adalah pada 12 Ogos.

“Kalau saya diberikan peluang, dalam tempoh lima tahun saya akan cuba melakukan yang terbaik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hayazi berkata, beberapa aspek antaranya membabitkan kemahiran, sukan, budaya dan infrastruktur di kawasan luar bandar seperti Ayer Hitam perlu diberikan perhatian sewajarnya.

“Kita nak keselesaan daripada segi kemudahan asas termasuk jalan dan sistem air paip yang perlu diselenggawa dengan baik.

“Apabila berlaku pertambahan penduduk, maka permintaan air sangat tinggi tapi kita cuba cari kaedah yang terbaik untuk bantu lancarkan infrasuktur di kawasan ini,” katanya lagi.

Sabtu lalu, Hayazi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon BN dan akan menentang penyandang kerusi DUN Ayer Hitam, Azhar Ibrahim atau lebih dikenali Cikgu Azhar.

DUN Ayer Hitam dimenangi calon Perikatan Nasional (PN), Azhar Ibrahim dengan 9,229 undi berbanding calon PKR, Datuk Aziz Mohamad sebanyak 8,692 dan calon BN, Datuk Abu Hasan Sarif dengan 7,220 undi. – MalaysiaGazette