Mohd Yahya Mat Sahri

TANJONG KARANG – Perlakuan vandalisme sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 di Selangor dengan merosakkan poster rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya satu penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) N09 Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, ini kerana pelantikan Perdana Menteri ke-10 mendapat perkenan daripada baginda.

“Kita tak suka tak ada masalah, ini negara demokrasi, tapi bila kita ada gambar tertentu seperti PMX, beliau angkat sumpah di hadapan YDPA.

“Salah satu daripada Rukun Negara adalah Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

“Kalau kita hina gambar Perdana Menteri, sama kita hina YDPA, jadi ini penting, jangan kita ambil langkah itu,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PRN DUN Permatang, di sini, hari ini.

Calon Perikatan Harapan N.09 Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri bercakap kepada media selepas menyatuni masyarakat pertani sawah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Sawah Sempadan, Tanjong Karang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 01 OGOS 2023.

Baru-baru ini, poster rasmi Perdana Menteri yang diletakkan di Sg Gulang-Gulang, di sini, didapati menjadi mangsa vandalisme selepas gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim dikoyak di bahagian muka.

Mengulas lanjut, Mohd Yahya berkata, insiden vandalisme itu merupakan kali kelima berlalu di sini sejak empat hari kempen PRN bermula Sabtu lepas.

“Sebelum ini kes sama berlaku di Simpang Raja Musa, saya ingat yang itu (Sg Gulang-Gulang) itu kelima, ada di Parit Serong, ada sebahagian itu, ketua-ketua kampung buat laporan polis.

“(Poster/ Billboard PMX) dipasang awal lagi sebelum pembubaran DUN lagi dan tempoh penamaan calon pun, saya rasa benda yang tidak molek sekali,” katanya.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak agar menghormati antara satu sama lain ketika berkempen dan tidak merosakkan bahan kempen calon lawan.

“Kalau benda itu anak muda yang buat, maknanya orang tua kena tegur, kalau orang tua yang buat, maknanya kena insaf.

“Tak suka tak ada masalah, biarkanlah gambar tu, apa masalah, letak gambar dia. Kalau dia tak suka, letak gambar dia sebelah, apa masalahnya, tak suka, saya letak gambar saya.

“Yang penting gambar itu gambar Perdana Menteri, anak kecil pun tahu gambar PM, takkan lah kita orang tua tak tahu itu gambar PM, kena hormat sikit, tak kisah siapa yang pasang, itu isu lain,” katanya. – MalaysiaGazette