Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar (dua kiri) menyambut ketibaan kumpulan terakhir seramai 270 jemaah haji Malaysia yang selamat mendarat di KLIA Sepang hari ini.

SEPANG – Pesawat terakhir yang membawa seramai 270 jemaah haji Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Ketibaan mereka jam 1.30 tengah hari tadi disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Kumpulan berkenaan berlepas semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putra Mohammad Abdulaziz, Madinah jam 10.50 malam waktu tempatan.

Menurut Mohd Na’im, operasi haji tahun ini telah mencapai tiga matlamat utama antaranya berjaya membawa jemaah berwukuf di Arafah yang merupakan kemuncak ibadah berkenaan.

“Tabung Haji (TH) juga berusaha menambah baik perkhidmatan selain akan buat dua pascanilai atau postmortem bulan ini dan September bagi memberikan keselesaan pada jemaah haji musim akan datang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga kepada semua jemaah haji TH kerana diiktiraf oleh Arab Saudi selepas mengekalkan disiplin yang baik.

“Sekali lagi kita menerima Anugerah Labbaitom dari Kerajaan Arab Saudi selepas menjadi model pengurusan haji contoh bagi negara-negara Islam serta masyarakat antarabangsa,” ujarnya.

Tambah Mohd Na’im, ia terbukti apabila beberapa negara seperti Libya, Turkiye, Thailand dan Indonesia menjemput TH untuk mempelajari model pengurusan terbaik.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada semua pihak terutama Kerajaan Arab Saudi kerana menyantuni jemaah di seluruh dunia dengan berhemah. – MalaysiaGazette