Hsiao Leung (paling kanan) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow semasa berkempen bertemu pengundi kawasan DUN Bukit Tengah hari ini.

BATU KAWAN – Anak-anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah nampaknya lebih terbuka menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

Itu trend dapat dikesan oleh calon PH bagi kawasan berkenaan, Gooi Hsiao Leung semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang.

Hsiao Leung berkata, ramai lagi anak muda turun padang mendengar ceramah yang berlangsung dalam tempoh berkempen ini di Seberang Jaya.

“Kita juga sudah pergi berkempen di beberapa kawasan pengundi Melayu semalam di Kampung Kebun Sireh, Bukit Tengah dan memang saya akui bahawa ada cabaran di kawasan itu.

“Namun kita masih pada peringkat awal kempeni yang mana kita masih ada baki 12 hari lagi yang memungkinkan sokongan akan memihak kita.

“Manakala anak-anak muda sudah mula lebih terbuka kepada PH dan kempen kami sejak selepas penamaan calon 29 Julai lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Hsiao Leung, yang paling penting untuk PH adalah meneruskan usaha menerusi kempen kepada anak muda terutama membabitkan prestasi pencapaian kerajaan Pulau Pinang dan menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh pihak lawan.

“Pihak lawan melemparkan pelbagai fitnah terhadap kerajaan negeri PH khususnya isu seperti 3R, jadi kita perlu mempersiapkan diri dan membalas dengan penjelasan mantap dan berfakta.

“Bagi tujuan itu, kita semua kena bekerja keras untuk menyampaikan isu yang berfakta dan sahih kepada pengundi muda khususnya yang berada di atas pagar dan memerhatikan parti politik.

“Di Pulau Pinang saya rasa secara purata 25 peratus daripada jumlah pengundi adalah terdiri daripada golongan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dan merekalah fokus kita sepanjang kempen kali ini,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan, walaupun pada PRU-15 lalu, Perikatan Nasional (PN) mempunyai kelebihan dalam media sosial tetapi kali ini ia dikuasai PH dalam PRN kali ini.

“Saya rasa PH kalau lihat di sosial media kali ini, i think kita (PH) lebih mantap.

“Ada ramai pempengaruh mula untuk keluar dan berkempen termasuk orang awam tapi yang PH mahu lihat adalah pempengaruh organik atau tulen keluar berkempen supaya saya boleh rasakan petanda positif dalam hal ini,” katanya.

Di Bukit Tengah, menurutnya, polarisasi pengundi melibatkan 37 peratus Melayu, Cina (46 peratus) Cina dan India (16 peratus) kerana ia melibatkan kawasan bercampur.

“Kami hendak memastikan pengundi jangan take for granted, kalau nak mempertahankan Pulau Pinang, turun dengan fullforce untuk mengundi khususnya yang bukan Melayu untuk mempertahankan Bukit Tengah,” katanya. – MalaysiaGazette