Oleh: Dr Rafeezul Mohamed
SISTEM imun memainkan peranan penting dalam menghalang badan kita dari dijangkiti oleh sebarang penyakit termasuk kanser. Walaubagaimanapun, sel kanser mempunyai kebolehan untuk bersembunyi atau mengelak dari dikesan serta dimusnahkan oleh sistem imun dan ini membolehkan sel-sel kanser terus berkembang. Sistem imun sangat bergantung kepada sel T untuk membunuh sel kanser. Aktiviti sel T ini dikawal oleh pusat pemeriksaan imun di mana pusat pemeriksaan imun positif mengaktifkan sel T manakala pusat pemeriksaan imun negatif menghalang pengaktifan sel T.
Pemenang hadiah nobel dalam bidang fisiologi atau perubatan 2018, Prof James P Allison dan Prof Tasuku Honjo telah mengenal pasti dua protein yang bertindak sebagai pusat pemeriksaan imun iaitu CTLA-4 dan PD-1 yang terletak di permukaan sel T. Apabila kedua-dua protein ini berinteraksi dengan protein di permukaan sel kanser atau sel imun yang lain, fungsi sel T akan dinyahaktifkan dan tidak berupaya untuk menyerang sel kanser.
Rawatan anti-CTLA-4, anti-PD-1 dan anti-PDL-1
Rawatan anti-CTLA-4, anti-PD-1, dan anti-PDL-1 telah membawa perubahan penting dalam rawatan kanser pada hari ini. Rawatan ini merupakan salah satu jenis rawatan imunoterapi yang memanfaatkan sistem imun badan kita untuk melawan kanser.
Anti-CTLA-4 atau dikenali sebagai Ipilimumab (Yervoy®) adalah ubat yang bertujuan untuk menghalang fungsi molekul yang dikenali sebagai CTLA-4. Molekul ini bertindak sebagai “brek'” dalam sistem imun yang menghalang tindak balas imun yang terlalu kuat. Dengan melepaskan brek ini menggunakan ubat anti-CTLA-4 ini, sel T akan teraktif dan berfungsi dengan berkesan dalam melawan kanser. Ipilimumab ini telah berjaya memanjangkan hayat pesakit melanoma lanjutan.
Anti-PD-1 dan anti-PDL-1 berfungsi dengan mekanisma yang sedikit berbeza bebanding anti-CTLA-4. PD-1 adalah molekul yang terdapat pada permukaan sel-sel imun yang berfungsi untuk menghalang aktiviti imun terhadap sel kanser. Manakala, molekul PD-L-1 ditemui di permukaan sel kanser dan akan berinteraksi dengan PD-1 pada sel imun. Ubat anti-PD-1 seperti Pembrolizumab (Keytruda®) dan Nivolumab (Opdivo®) manakala ubat anti-PDL-1 seperti Atezolizumab (Tecentriq®), Avelumab (Bavencio®) and Durvalumab (Imfinzi®) berfungsi untuk menghalang interaksi ini, mengaktifkan semula sel T untuk mengenali dan menyerang sel kanser. Dengan menghalang interaksi antara PD-1 dan PD-L1, ubat-ubatan ini akan meransang sistem imun untuk mengenali sel kanser sebagai ancaman dan memusnahkannya. Ubat anti-PD-1 and anti-PDL-1 ini telah digunakan
untuk rawatan kanser pundi kencing, kanser payudara, kanser paru-paru sel bukan kecil, limfoma hodgkin dan melanoma.
Kombinasi rawatan perencat pusat pemeriksaan imun dengan rawatan kanser lain
Beberapa kajian terbaru telah menunjukkan bahawa gabungan rawatan perencat pusat pemeriksaan imun dengan rawatan kanser yang lain seperti kemoterapi, radioterapi, atau terapi terarah seperti terapi target, boleh memberikan kesan sinergistik yang meningkatkan keberkesanan terapi dan memberikan faedah yang lebih besar kepada pesakit. Hal ini disumbangkan oleh keupayaan perencat pusat pemeriksaan imun untuk mengaktifkan sistem imun tubuh untuk melawan sel kanser dengan lebih berkesan, manakala rawatan lain turut berjaya memusnahkan atau menghalang pertumbuhan sel kanser. Gabungan kedua-dua rawatan ini dapat memberikan kesan yang optimun,
membantu mengawal perkembangan sel kanser dengan lebih baik dan meningkatkan keupayaan badan pesakit untuk mencapai tindak balas yang lebih baik terhadap rawatan yang diberikan. Walau bagaimanapun, penting untuk diingat bahawa setiap pesakit kanser adalah unik, dan keputusan mengenai rawatan gabungan haruslah ditentukan oleh pasukan perubatan yang berkelayakan berdasarkan jenis kanser, tahap penyakit, faktor-faktor individu pesakit, dan bukti klinikal yang sedia ada.
Kesan sampingan
Walaupun rawatan perencat pusat pemeriksaan imun dan gabungannya ini memberi kesan positif kepada pesakit kanser, ia turut menyebabkan beberapa kesan sampingan tertentu. Antara kesan sampingan yang mungkin berlaku adalah pesakit kanser mengalami ruam kulit, gatal-gatal, atau kemerahan kulit, gangguan pada saluran pencernaan yang menyebabkan pesakit mengalami loya, muntah, cirit-birit, atau sakit perut, pesakit mungkin mengalami gangguan hati disebabkan oleh peningkatan enzim hati, pesakit mungkin juga mengalami perubahan fungsi tiroid yang boleh menyebabkan gejala seperti keletihan, berat badan berubah, dan gangguan suhu badan, serta reaksi
imunologi lain yang menyebabkan masalah seperti keradangan pada organ-organ tertentu atau dikenali sebagai kejadian autoimun. Reaksi seperti ini boleh melibatkan pelbagai bahagian badan dan memerlukan rawatan yang segera. Namun demikian, kesan sampingan ini tidak berlaku kepada semua pesakit yang menjalani rawatan perencat pusat pemeriksaan imun dan setiap pesakit berkenaan mungkin menghadapi pengalaman yang berbeza.
Pasaran global bagi perencat pusat pemeriksaan imun
Mengikut data dari “The Business Research Company”, pasaran global bagi perencat pusat
pemeriksaan imun ini telah meningkat dari USD23.93 billion pada tahun 2022 kepada USD27.83 billion pada tahun 2023. Peningkatan permintaan ini disumbangkan oleh pertambahan kes kanser di seluruh dunia. Walaubagaimanapun, kos rawatan perencat pusat pemeriksaan imun yang tinggi dijangkakan menghadkan permintaan terhadap ubat perencat pusat pemeriksaan imun ini. Kos yang dilaporkan bagi dos lengkap terapi perencat pusat pemeriksaan imun yang diberi secara intravena adalah sekitar USD150,000 (RM690,000) sehingga USD250,000 (RM1,150,000).
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, rawatan menggunakan perencat pusat pemeriksaan imun iaitu anti-CTLA-4, anti-PD-1, dan anti-PDL-1 serta gabungannya adalah satu kejayaan yang besar dalam rawatan kanser. Ia memanfaatkan daya kekuatan sistem imun untuk melawan sel kanser dengan lebih berkesan, memberikan pilihan rawatan baru, dan memanjangkan hayat ramai pesakit kanser. Walaupun kos rawatan terapi perencat pusat pemeriksaan imun ini mahal, namun keberkesanannya yang telah dibuktikan melalui kajian klinikal serta telah mendapat kelulusan dari Food and Drug Agency, Amerika Syarikat mendorong pesakit kanser yang berkemampuan untuk menjalani terapi
menggunakan ubat perencat pusat pemeriksaan imun ini.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Bioperubatan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia.