Calon Barisan Nasional P.03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin bercakap kepada media selepasn Majis Beramah Mesra Bersama Anggota RELA Selangor di Sekin Resort Hotel, Sekinchan, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 01 OGOS 2023.

SEKINCHAN – Lebih 40,000 pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang bakal menikmati khidmat rundingan guaman percuma jika penyandangnya, Datuk Mohd Imran Tamrin diberi mandat semula pada 12 Ogos ini.

Mohd Imran berkata, inisiatif percuma itu telah memberi manfaat kepada penduduk luar bandar itu bukan sahaja berkaitan kes jenayah dan sivil bahkan tuntutan harta pusaka.

“Inisiatif ini telah dilaksanakan sepanjang penggal lepas, ada ramai pelanggan dan rakan-rakan yang menerima manfaat dan juga kebaikan inisiatif tersebut.

“Antaranya kita memberikan khidmat dan nasihat secara percuma dan kita juga membantu untuk kes-kes yang boleh diselesaikan dalam tempoh satu hari.

“Kalau memerlukan pengakuan salah, kita akan merayu untuk mitigasi,” katanya kepada MalaysiaGazette di Sekin Resort & Hotel di sini hari ini.

Mohd Imran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi N03 Sungai Panjang dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), pada 12 Ogos ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohd Imran memenangi kerusi N03 Sungai Panjang dengan majoriti 2,084 undi selepas menewaskan calon daripada Pas dan PKR.

Dalam pada itu, Mohd Imran berazam mengurangkan banyak kes tertunggak yang melibatkan tuntutan harta pusaka di Pejabat Daerah Sabak Bernam ketika ini.

“Daerah Sabak Bernam antara kawasan mempunyai jumlah besar kes tertunggak walaupun telah pun menurun tahun demi tahun.

“Namun masih ada lagi kurang kesedaran daripada ahli-ahli dan juga warga tentang pentingnya menguruskan harta pusaka dan harta peninggalan si mati

“Atas kesedaran tersebut untuk penggal akan datang ini, Insya-Allah sekiranya saya diberi mandat sekali lagi sebagai ADUN DUN Sungai Panjang, saya akan lanjutkan Khidmat Rundingan Guaman ini secara percuma,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast