Calon Perikatan Nasional (PN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hadir pada Ceramah Perdana sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Pekan Naka, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 01 OGOS 2023.

PADANG TERAP – Beberapa jam selepas menyatakan pernah berjumpa dengan warga China dikenali sebagai So Loi Fat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa terdapat individu dari Indonesia yang mengatakan hasrat untuk membeli tanah yang mempunyai nadir bumi (REE).

Sanusi mendakwa individu bernama Riza Chalid dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tujuan tersebut.

“(Datuk Seri) Anwar ada bawa lelaki Indonesia mohon beli tanah. Saya jadi Menteri Besar dah masa Anwar Ibrahim datang ke Kedah bersama seorang lelaki Indonesia.

“Namanya Riza Chalid saya tengok dalam portal Anwar dengan Reza jumpalah seseorang tuan-tuan.

“Rupanya-rupanya Riza Chalid datang untuk memohon kawasan lombong REE, mari (datang) dengan Anwar beberapa minggu sebelum kita bubarkan DUN,” katanya pada Ceramah Perdana Gelombang PN DUN Pedu, di Pekan Naka, malam tadi.

Hadir sama adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim.

Ujar Sanusi, perkara itu juga antara pendorong Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail secara bertalu-talu menyerangnya.

“Patutlah Pudin (Saifuddin) ini terlalu nak pulun (serang), saya tahu dah.

“Saya memang ingat Pak Riza ini ada jumpa macam-macam orang untuk nak mohon tanah lombong REE,” ujarnya.

Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pihaknya akan membantu dan tidak mempunyai sebarang masalah jika wujud pihak yang ingin memohon tanah untuk mengusahakan tanah REE.

Jelasnya, sekiranya ada pihak yang berminat untuk meneroka REE yang ada di Kedah, ia harus menggunakan saluran yang betul bagi mendatangkan semula pulangan terhadap kerajaan negeri.

“Buat kerja ikut undang-undang, biar betul-betul. Janganlah sampai rosak mineral kita, hilang duit kita. Siapa pun atas dunia ini yang ada kemahiran ada kepakaran nak mohon kawasan REE silakan, kita luluskan dengan syarat hasil itu pulang kepada rakyat Kedah.

“Anwar Ibrahim ke Pudin (Saifuddin) marilah sesiapa pun tak mengapa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast