BUKIT MERTAJAM – Poster calon Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang yang digantung sekitar Permatang Pauh, Kepala Batas dan Bukit Mertajam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang diconteng dan dikoyakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ia termasuk poster wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada papan iklan gergasi Malaysia Madani di beberapa kawasan disembur cat berwarna putih dan hitam selain digunting pada bahagian muka.
Calon DUN Penanti, Rosidi Hussain mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi itu sambil meminta semua pihaku berkempen secara sihat.
“Agak terkejut dan mengecewakan apabila poster calon-calon PH di beberapa kawasan didapati telah dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab apabila diconteng dan dikoyakkan.
“Oleh demikian saya merayu dan memohon kepada masyarakat dan rakyat supaya bertindak dengan lebih waras dan jangan terburu-buru serta beremosi kerana kempen politik PRN ini sedang diperhatikan seluruh rakyat Malaysia dan dunia.
“Biarlah kita berkempen dengan cara yang yang sopan dan beradab, ikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan SPR,” katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini petang tadi.
Terdahulu, Setiausaha PKR Cabang Permatang Pauh, Mohamad Salehan Jahaya dengan ditemani rakan-rakannya membuat satu laporan polis berhubung insiden yang berlaku.
Dalam pada itu, calon PH bagi DUN Seberang Jaya, Johari Kassim yang turut hadir membuat laporan polis melahirkan kekesalan dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu yang dipercayai dilakukan oleh pihak lawan.
“Parti lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) yang kini bersama dengan sebuah parti Islam dalam PRN kali ini sepatutnya dapat mendidik dan mengajar akhlak yang baik kepada petugas-petugas dalam melaksanakan tugas dengan baik semasa berkempen dan bukannya merosakkan poster calon bertanding.
“Dalam proses demokrasi ini setiap parti mempunyai hak untuk berkempen, meletakkan bahan kempen dan kita perlu menghormati bahan kempen masing-masing sepanjang pilihan raya ini berlangsung.
“Berikutan insiden itu, kami berharap parti lawan dapat memberi penjelasan segera dan nasihat supaya tidak bertindak membatasi undang-undang.
“Justeru, kami juga berharap pihak berkuasa polis dapat melakukan pemantauan yang lebih kerap lagi bagi mengelakkan kejadian mensabotaj bahan kempen calon PRN tidak berulang lagi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, calon DUN Machang Bubok, Lee Khai Loon menyeru kerjasama orang awam yang mempunyai rakaman kamera litar tertutup berhampiran kawasan poster dan papan iklan di lokasi kejadian agar menyalurkannya kepada wakil calon untuk tindakan sewajarnya.
“Lebih mengecewakan lagi, banyak poster dan papan iklan yang dipasang di kawasan saya juga didapati telah dirobohkan. Penelitian kami mendapati mendapati semua bahan kempen yang rosak itu bukan kerana ribut yang berlaku Ahad lalu tetapi ia berpunca daripada perbuatan khianat kumpulan tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette