KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Sayap Bersekutu, Datuk Sri Sanjeevan mempersoalkan tindakan pimpinan kerajaan yang didakwanya berubah nada dalam isu pemberian ketika musim pilihan raya.
Menurutnya, ketika menjadi pembangkang sekitar 2018, setiap pemberian oleh kerajaan terdahulu dikritik dan disifatkan sebagai ‘dedak’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun hari ini selepas bergelar kerajaan, masih ada lagi peruntukan yang diberi ketika musim pilihan raya.
“Hari ini ia disebut pula sebagai pemberian dan inisiatif untuk rakyat, itu juga ketika Pilihan Raya Negeri (PRN). Mana satu pendirian dan prinsip anda? Dulu semua tidak boleh dan tidak betul, hari ini semuanya halal?
“Bukankah itu dikatakan rasuah dan kerajaan hari ini sangat menentang budaya itu, hari-hari kritik pimpinan pembangkang dan sebagainya. Sepatutnya nada ini juga sama untuk pimpinan dalam kerajaan. Jangan cakap flip flop begini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Kata Sanjeevan, banyak tindak tanduk kerajaan menjadi perhatian rakyat ketika ini dan pastinya emosi mereka akan ditafsirkan dalam bentuk undi pada 12 Ogos ini.
“Kita tengok nanti bagaimana rakyat bertindak. Hari ini rakyat jauh lebih bijak dan sudah tahu hak serta kepentingan mereka, mereka tidak akan terima ahli politik cakap flip flop.
“Masa PRU-15 juga macam-macam tuduhan, dakwaan antara BN dan PH tapi bila sudah jadi kerajaan semuanya boleh sahaja,” tegasnya. -MalaysiaGazette