SEKINCHAN – Kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di kerusi N03 Sungai Panjang masih belum terasa bahangnya, apatah lagi kawasan luar bandar itu masih tenang daripada sebarang tindakan provokatif.
Sebaliknya BN mengambil peluang ini sebaik mungkin untuk mendekati masyarakat kampung dengan pelbagai pendekatan termasuk menghidupkan budaya Kejubus mahupun Rewang dalam sambutan Hari Asyura.
“Sudah pastinya (mesej harmoni) mesej yang kita bawa dalam semangat Kerajaan Perpaduan, kita membawa semangat perpaduan.
“Antara yang boleh kita terjemahkan dalam bentuk tindakan dan secara optiknya beginilah budaya masyarakat di Kampung Pasir Panjang ini yang bergotong-royong.
“Kita boleh lihat betapa bersatu padu dan harmoninya penduduk di sini, sama ada mereka boleh bekerjasama dalam semangat gotong-royong kenduri kendara atau lebih sinonim dengan tradisi Kejubus atau Rewang.
“Ini memang budaya di sini di mana ia meliputi komuniti orang Jawa, Banjar dan beberapa etnik lain,” katanya kepada MalaysiaGazette di Kampung Pasir Panjang, di sini, hari ini.
Mohd Imran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi N03 Sungai Panjang dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), pada 12 Ogos ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohd Imran memenangi kerusi N03 Sungai Panjang dengan majoriti 2,084 undi selepas menewaskan calon daripada Pas dan PKR.
Dalam pada itu, BN juga menjadikan sambutan Hari Asyura sebagai platform terbaik untuk merapatkan silaturahim dengan masyarakat setempat.
“Ini peluang kita untuk bersama-sama penduduk dan masyarakat setempat. Kebanyakan mereka ini sebenarnya bukan ahli parti. Mungkin ada di antara mereka ini berbeza latar belakang politik.
“Tapi semangat kebersamaan dan perpaduan yang kita bawa dalam Kerajaan Perpaduan dan Kita Selangor, kita boleh mendekati sambil berbincang, mendengar pandangan dan saranan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette