Seorang pejalan kaki memakai payung ketika berjalan di tengah panas di Tehran. foto IRNA

TEHRAN – Iran mengisytiharkan cuti dua hari untuk pekerja kerajaan dan bank di ekoran suhu panas melanda seluruh negara ini.

Agensi berita IRNA melaporkan, keputusan itu dibuat selepas pejabat meteorologi meramalkan suhu melebihi 40 darjah Celsius di kebanyakan andar dan berlegar sekitar 50 darjah Celsius di barat daya.

Penyiar negeri IRIB berkata, banyak bandar termasuk di wilayah Ilam, Bushehr dan Khuzestan telah menyaksikan suhu meningkat melebihi 45 darjah Celsius dalam beberapa hari kebelakangan ini.

“Kabinet bersetuju dengan cadangan kementerian kesihatan untuk mengisytiharkan hari Rabu dan Khamis sebagai hari kelepasan am di seluruh negara bagi melindungi kesihatan awam,” agensi berita rasmi IRNA memetik jurucakap kerajaan, Ali Bahadori Jahromi sebagai berkata.

IRNA berkata, keputusan itu diambil kerana apa yang disifatkannya sebagai gelombang haba “belum pernah berlaku sebelum ini” di seluruh negara.

Menurut IRIB, bandar Dehloran di barat Iran mencatatkan suhu tertinggi 50 darjah Celsius di Iran sejak 24 jam lalu.

Ia menambah, suhu dijangka meningkat di utara juga, termasuk di bandar Ardabil serta di pantai selatan Laut Caspian.

Kementerian kesihatan telah memberi amaran tentang risiko strok haba akibat terlalu terdedah kepada matahari, dan menggesa orang ramai untuk tinggal di dalam rumah antara 10 pagi dan 4 petang.

Jurucakap kementerian kesihatan, Pedram Pakain berkata, jumlah penyakit berkaitan haba dalam beberapa hari kebelakangan ini sebagai “membimbangkan.”

Pada bulan Jun, Iran menukar waktu kerja musim panas untuk kakitangan kerajaan yang kini bermula lebih awal, untuk menjimatkan tenaga elektrik di pejabat apabila suhu memuncak.

Wilayah tenggara Sistan-Baluchistan adalah antara yang paling teruk dilanda gelombang panas.

Kira-kira 1,000 orang telah menerima rawatan hospital di sana sejak beberapa hari kebelakangan ini kerana peningkatan suhu dan ribut debu, kata IRNA.

Wilayah itu telah lama menghadapi kekurangan air yang teruk, yang mencetuskan bantahan pada hari Isnin ke atas empangan hulu di negara jiran Afghanistan yang menyekat aliran air, kata agensi berita Tasnim.

Iran, dengan populasi lebih daripada 85 juta, adalah antara negara yang paling terdedah kepada perubahan iklim dan peningkatan suhu global.

Seperti negara berhampiran, ia telah mengalami musim kering yang melampau dan gelombang panas selama bertahun-tahun, yang dijangka menjadi lebih teruk apabila perubahan iklim berterusan.

Ia juga telah mengalami kemarau berulang serta banjir biasa, fenomena yang menjadi lebih teruk apabila hujan lebat. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast