SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua parti yang bertanding dalam enam pilihan raya negeri (PRN) tidak mempolitikkan isu kalimah Allah.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, peringatan tersebut selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada beliau dua hari sebelum berangkat ke London untuk menjalani rawatan baru-baru ini.
Anwar menambah, Sultan Sharafuddin bertitah, isu kalimah Allah akan diperkemaskan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan baginda akhir bulan ini sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu.
“Raja-raja Melayu (titah) jangan jadikan isu politik, raja-raja Melayu akan perkemaskan atas cadangan kerajaan Persekutuan.
“Apa Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kata? Masih gunakan isu kalimah Allah,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Taman Tuanku Ja’afar di sini malam ini.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan calon PH bagi kerusi DUN Paroi, Norwani Ahmat.
Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam satu ceramah di Kapar, Klang kelmarin mendakwa isu kalimah Allah menggambarkan Kerajaan Perpaduan kini diterajui bukan Islam.
Beliau turut mendakwa Anwar dipengaruhi DAP susulan kerajaan tidak meneruskan rayuan di mahkamah berhubung kes yang sama.
Pada Mei lalu, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian boleh guna kalimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 18 April lalu. – MalaysiaGazette