KL Sentral

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju membangunkan semula Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) bagi meningkatkan kapasiti yang kini melebihi 200,000 penumpang sehari.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kos naik taraf melebihi RM1 bilion itu akan ditanggung pemaju asal hab berkenaan, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Jelasnya, ia dilaksanakan melalui pembiayaan swasta oleh MRCB tanpa sebarang kos yang melibatkan kerajaan.

“Projek ini dianggar bernilai lebih RM1 bilion dan sebagai pulangannya, MRCB dibenar membina projek komersial di atas stesen itu termasuk kondominium dan sebagainya,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Bagaimanapun, Anthony memberitahu, proses itu tidak menjejaskan operasi KL Sentral selain tiada pemindahan stesen semasa pembinaan dijalankan.

“Kerajaan beri masa dua tahun kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan MRCB untuk perbincangan lanjut. Sekiranya selesai awal, jadi pembinaan semula KL Sentral itu boleh dipercepatkan. Kita harap rundingan itu dimuktamadkan dalam tempoh setahun,” ujarnya.

Anthony menambah, pemilihan MRCB kerana syarikat itu merupakan pemaju asal KL Sentral selain ia turut dimiliki kerajaan menerusi pegangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berharap proses itu berjalan lancar memandangkan pembinaan KL Sentral pada awalnya untuk menampung 100,000 penumpang sehari telah bertambah dua kali ganda. – MalaysiaGazette