KUALA LUMPUR – Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandah Indah, Lisa Redzuan, 41, mengambil pendekatan berbeza ketika berkempen pada Pilihan raya Negeri (PRN) Selangor.
Ibu kepada lima orang cahaya mata itu berkata, beliau lebih selesa bersua muka dengan pengundi daripada menggunakan pentas ceramah untuk berkempen.
Katanya, cara itu lebih berkesan dan mencapai matlamat, kerana berkempen itu baginya bukanlah semata-mata mahu menang pilihan raya, sebaliknya mendengar keluhan rakyat dan mencari penyelesaian terhadap masalah yang dialami mereka.
“Saya tak suka berceramah dengan janji-janji kosong, saya suka mendengar. Bila kita mendengar kita akan tahu keluhan komuniti di situ,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas mengadakan walkabout bertemu pengundi di Pandan, di sini.
Menurut Lisa, sejak berkempen selepas penamaan calon pada Sabtu lepas, beliau mendapat banyak maklumat berkenaan permasalahan yang berlaku di kawasan Pandan Indah.
Katanya, perkara berkenaan perlu penyelesaian segera demi kesejahteraan penduduk di kawasan itu.
Lisa berkata, antara yang perlu diberi perhatian ialah pembinaan sebuah pasar basah kerana di kawasan tersebut tidak ada premis pasar yang selesa untuk kemudahan penduduk membeli barangan keperluan asas dan harian.
Selain itu katanya, infrastruktur tempat riadah perlu diperbaiki kerana kemudahan yang ada telahpun rosak akibat perbuatan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
“Perkara-perkara seperti ini walaupun nampak macam remeh tapi, ia perlu diberi perhatian kerana melibatkan keselesan, kesejahteraan dan hak penduduk di sini.
“Rungutan dan permasalahan sedemikian tidak boleh diperoleh dengan berceramah di atas pentas sebaliknya, kena bertemu dengan orang ramai dan mendengar apa yang diluahkan supaya tindakan dapat diambil selepas mandat diberi oleh pengundi,” ujarnya.
Dalam pada itu Lisa memberitahu, beliau sangat teruja kerana diberi peluang untuk bertanding di kawasan DUN Pandan Indah pada PRN kali ini.
Katanya, beliau tidak gentar untuk menentang penyandang kerusi DUN itu yang merupakan wakil daripada parti kerajaan.
Jelas beliau, semangat yang jitu muncul dalam dirinya kerana beliau mempunyai matlamat dan hasrat yang besar untuk memperkasakan kaum hawa di kawasan berkenaan.
“Saya seorang wanita yang satu-satunya berlawan di sini. Saya teruja nak bertanding lawan dengan nama-nama besar yang bertanding. Saya nak perkasakan wanita di Pandan Indah ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette