Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) diiringi timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran (dua kiri) ketika hadir Perjumpaan Khas PM Bersama MIC di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 02 OGOS 2023.

KAJANG – Para pemimpin MIC dilihat ikhlas menyokong calon-calon Kerajaan Perpaduan yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat melihat keikhlasan itu daripada ucapan pemimpin-pemimpin parti berkenaan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri hari ini.

Katanya, dalam ucapan mereka, pemimpin MIC merasakan parti itu sepatutnya mendapat lebih banyak kerusi pada PRN sedangkan mereka adalah calon boleh menang di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, MIC telah membuat keputusan sebaliknya apabila tidak mahu meletakkan calon bertanding di negeri itu.

“Jadi, keputusan itu adalah keputusan kepimpinan parti itu. Maka, saya selaku Pengerusi BN tentulah menghormati keputusan tersebut dan saya menyantuni bukan sahaja beliau timbalan presiden dan beberapa pemimpin lain.

“Saya mendapati ucapan tadi beliau (Presiden MIC, Tan Sri Vigeneswaran) ) menyokong sepenuhnya bukan sahaja calon-calon BN tetapi juga calon daripada parti-parti Kerajaan Perpaduan,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kantan Permai sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, langkah yang diambil oleh MIC yang menyokong kerajaan merupakan satu sikap yang harus dihargai oleh 19 parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu hari ini, Vigneswaran ketika memulakan ucapannya dalam majlis perjumpaan antara MIC bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka meminta Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak ‘menganaktirikan’ parti itu.

Beliau melahirkan rasa kurang senang MIC terhadap tindak tanduk khasnya dalam BN kerana telah menganaktirikan dalam soal pembahagian kerusi dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut Vigneswaran, MIC telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi untuk Kerajaan Perpaduan namun tidak tanduk yang kurang menyenangkan menyebabkan akar umbi parti berasa kecewa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast