Dr. Alias Razak

KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu mendakwa pihak lawan kehabisan modal untuk menyerang parti itu dengan memainkan isu peribadi seorang calonnya.

Perkara itu dijelaskan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Alias Razak apabila tiba-tiba ada pihak membangkitkan isu rumah tangga calon Pas bagi kerusi DUN Kemasik.

“Isu ini sengaja dibangkitkan pihak lawan menjelang hari pengundian dengan harapan Pas akan kalah di kerusi DUN ini. Saya percaya perkara ini telah dirancang lama dan ia dimainkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap Pas.

“Saya mendapat maklumat kes didalangi pihak tertentu dan saya yakin sebaik sahaja selesai pilihan raya, perkara ini hilang begitu sahaja,” katanya di Terengganu hari ini.

Sabtu lalu, seorang wanita di Kemaman mendakwa ‘digantung tidak bertali’ oleh suaminya, seorang calon kerusi DUN sebuah parti politik pada PRN Terengganu.

Wanita berusia 38 tahun itu dilaporkan berkata, suaminya berusia lewat 40-an didakwa bertindak mendiamkan diri selepas perkahwinan mereka di negara jiran diketahui isteri pertama lelaki berkenaan pada Oktober tahun lalu.

Dakwa wanita berkenaan dalam video tular, dia hanya mahu tahu statusnya sebab sudah hampir sembilan bulan digantung tidak bertali.

Dalam pada itu, menurut Dr. Alias, sekiranya wanita berkenaan meragui dengan statusnya, dia boleh merujuk kes berkenaan di pejabat agama untuk tindakan pihak berwajib.

Katanya, menggunakan pihak lawan untuk ‘membela’ masalahnya bukan suatu yang betul.

“Kalau ada isu bawa ke pejabat agama untuk tindakan pihak berwajib, jadi ini satu tindakan yang tidak baik dan sangat tidak bertamadun, jauh sekali dalam kempen pihak lawan untuk meraih undi,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Terengganu berkata, kempen murahan itu bermatlamat tidak lain untuk menjejaskan kredibiliti calon bagi mengalihkan sokongan rakyat yang pada ketika ini berpihak kepada Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast