Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir beramah mesra bersama jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Bilik Gerakkan Kantan Permai, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 02 OGOS 2023.

KAJANG – Lebih ramai lagi akan keluar parti UMNO sekiranya Tan Sri Annuar Musa masih lagi menjadi Setiausaha Agung UMNO ketika ini.

Itu tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Ahmad Zahid, beliau didesak oleh 147 daripada 191 ketua bahagian UMNO seluruh negara supaya melucutkan jawatan Annuar daripada parti sebelum ini.

“Tetapi perkara itu saya tidak lakukan (lucut jawatan). Jadi, saya terus bersangka baik pada beliau.

“Ingat beliau kalah bertanding timbalan presiden kerana beliau ketika itu mahu meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Ketereh dan meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Ketereh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kantan Permai sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di sini hari ini.

Ahmad Zahid sebelum itu ditanya mengenai dakwaan Annuar bahawa ramai dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO akan meninggalkan parti itu tidak lama lagi.

Tanpa menyatakan berapa ramai seperti dakwaannya, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu berkata, satu pengumuman mengenainya akan dibuat pada 4 Ogos ini yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, bagi menjaga solidariti perjuangan pemimpin UMNO sama ada yang menang atau kalah ketika itu, beliau telah membuat keputusan meletakkan Annuar sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Selepas Annuar menjadi Setiausaha Agung UMNO dan apabila terbentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau telah mencadangkan Annuar menjadi menteri penuh kerana hirarki jawatannya yang tertinggi dalam parti hingga akhirnya beliau diletakkan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu.

“Saya tidak mahu menuduh beliau sakau tetapi itulah yang orang kata, bukan saya yang kata.

“Jadi, dengan dalam keadaan macam ini, bila dah gila talak politik kerana beliau tidak relevan dengan UMNO dengan jumlah 147 ketua bahagian yang tidak sukakan beliau, maka apa yang saya buat tidak mahu memalukan beliau.

“Saya letakkan beliau sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN). Jadi, dalam keadaan yang begitu beliau masih lagi buat kerenah. Jadi, apa yang saya buat saya tentulah mengambil tindakan politik yang sepatutnya,” tegasnya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, lebih baik sekiranya beliau menutup aib orang daripada mendedahkan banyak perkara.

Bagaimanapaun, beliau mengingatkan Annuar supaya mengambil tingkah perjuangan mengikut parti yang disertainya sekarang.

“Apa yang parti itu dapat janjikan pada rakyat, itu lebih penting daripada mengata orang, tambah mengata parti yang telah banyak berjasa pada beliau secara peribadi.

“Ingat, jangan pernah jadi ‘kaduk naik junjung’ dalam perkara ini dan saya tidak mahu cakap lebih daripada itu.

“Biarlah masyarakat menilai khususnya masyarakat Ketereh dan Kelantan,” tambah Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast