POKOK SENA – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan menyaman lagi Datuk Seri Saifuddin nasution Ismali sekiranya masih berterusan memfitnahnya.
“Kita saman sekali lagi, biar penuh dalam kotak,” katanya ketika ditemui selepas Program Sembang Santai Bersama MB Kedah di Flat Alor Malai di sini hari ini.
Muhammad Sanusi mengulangi keyakinan bahawa tuduhannya membawa seorang warga China, So Loi Fai daripada dua individu yang dikatakan terlibat dalam kecurian sumber nadir bumi (REE) di hutan simpan di Sik adalah fitnah.
Pada 21 Julai lalu, Muhammad Sanusi telah memfailkan tuntutan saman terhadap Saifuddin berhubung dua kes fitnah iaitu isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan REE.
Dalam pada itu, beliau mengakui tidak pernah bertemu dengan ahli perniagaan Indonesia, Riza Chalid yang dikaitkan dengan bidaan mendapatkan hak perlombongan galian di negeri itu.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun mengakui pernah dihubungi oleh pihak Riza sebelum ini.
“Yang itu saya tidak boleh dedah cakap lebih-lebih. Tidak pernah (bertemu) tapi saya dihubungi pihak dia (Riza),” ujarnya.
Beliau diminta mengulas lebih lanjut mengenai pendedahannya malam tadi bahawa Riza pernah datang ke Kedah ditemani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu individu tertentu.
“Rupanya Riza Chalid datang untuk memohon kawasan lombong REE. Mari dengan Anwar Ibrahim boss! Patutlah Pudin (Saifuddin) pulun sangat, pasal tu lah,” katanya dalam ceramah malam tadi.
Pada 2 Oktober lalu, laman Facebook milik keluarga diraja Kedah telah menyiarkan tentang pertemuan Anwar dengan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Menurut catatan itu, Anwar yang ketika itu Ahli Parlimen Port Dickson datang bersama Riza. – MalaysiaGazette