PETALING JAYA – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Dr. Afifi Bahardin tidak merasa kekok apabila bertemu dengan penduduk, walau dianggap sebagai calon luar.
Katanya, setiap kali turun ke penempatan penduduk, mereka cepat mesra, malah ada yang mengenalinya dan menyambut baik kedatangan beliau di DUN itu.
“Alhamdulillah, sambutan penduduk di sini sangat baik dan mesra sebaik mereka tahu saya bertanding di Taman Medan.
“Cuma papan iklan dan gambar saya belum lagi dinaikkan di mana-mana lokasi dalam kawasan ini kerana tunggu semua urusan mengenai kedudukan saya selesai secara rasmi.
“Contohnya, selepas penamaan calon Sabtu lalu, saya diumumkan sebagai calon nombor dua di kertas undi dan bahan cetakan ini akan dipasang dalam sehari dua lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program sembang santai di The Biblio Bookcafe G03, dekat sini, hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dr. Afif bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam atas tiket PN, tetapi kalah kepada Azli Yusof dari Pakatan Harapan (PH).
Dalam pertandingan empat penjuru itu, beliau ditentang Mohd Rafique Rashid Ali dari Parti Pejuang dan Isham Jalil dari Barisan Nasional (BN).
Namun, dalam PRN DUN ini, beliau ditentang oleh calon PKR, Ahmad Akhir.
Menurut Dr. Afif, yang agak melucukan sepanjang lima hari berkempen ini, ada penduduk bertanyakan beliau orang Pulau Pinang atau asal dari mana.
“Saya kata, saya memang anak Selangor, lahir dan membesar di Selangor dan pernah bekerja di Selangor. Sekarang saya kembali untuk berkidmat kepada rakyat Selangor.
“Saya juga beritahu mereka, saya datang (bertanding) di sini dengan penuh ikhlas hati untuk membantu rakyat Taman Medan.
“Di sini ada 80 blok pangsapuri, lima masjid, 25 surau, 11 kuil, satu tokong dan beberapa sekolah. Setakat ini, semua surau dan masjid saya dah kunjung. Saya juga jumpa ramai pemimpin komuniti dan peniaga. Mereka semua cepat mesra,” katanya. – MalaysiaGazette