Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim berucap pada Ceramah Kita Selangor Arus Merah Kuning Dun Semenyih sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Beranang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 01 OGOS 2023.

SEMENYIH – Pengundi di Selangor kena sentiasa celik dan jangan sesekali termakan janji retorik pihak lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim berkata, selama lebih tiga penggal Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) telah berjaya membawa negeri itu pada kedudukan sebagai negeri paling maju ketika ini.

“Jadi untuk apa kita hendak ubah kepada pihak yang satu lagi yang hanya boleh tabur janji sahaja dan berterusan main politik berbanding kerajaan ada ketika ini adalah sebuah kerajaan yang telah berjaya membuktikan rekod prestasi terbaik selama ini.

“Tidak cukup dengan itu, kini kita ada Kerajaan Perpaduan yang Barisan Nasional, UMNO juga bersama kerajaan ini untuk menambah kekuatan demi rakyat Selangor.

“PH-BN Selangor juga Isnin lepas melancarkan Lima Tekad (manifesto PH-BN Selangor) yang mempunyai 53 program untuk semua lapisan rakyat yang pastinya bukan populis sesuatu yang telah dirancang, sedang dibuat dan akan segera dilaksanakan selepas PRN,” katanya dalam ceramah umum di sini hari ini.

Kata Mutalif lagi, seandainya kuasa Selangor tidak sesekali tergugat, pastinya akan muncul sebagai kerajaan negeri terhebat di Asia kelak berikutan kekayaan dan kemakmuran dikecapi.

“Saya harap sangat pengundi-pengundi tidak tergugat, jangan biarkan negeri ini tidak stabil kerana cakap-cakap dan omong kosong parti-parti lain. Kestabilan politik ini penting bagi memastikan kehidupan rakyat daripada pelbagai sudut terjaga termasuklah ekonomi, sosio ekonomi dan sebagainya.

“Pihak lawan pandai cakap untuk tarik undi, yang bekerja dan bertungkus lumus adalah kita, jadi usahlah tertipu,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast