BATU MAUNG – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung, Prof Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid optimis mampu mengubah perspektif gelombang hijau dengan fakta syiar Islam terserlah di Pulau Pinang sejak 2008.
Mohamad, 49, yang merupakan Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang berkata, hampir RM1 billion diperuntukan untuk pembangunan Islam di negeri ini sejak PH yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat ketika mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.
Beliau yang juga bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama 14 tahun menegaskan, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Kerajaan Negeri juga memberi peruntukan bagi mewujudkan Pusat Kajian Pemikiran Islam dan Ketamadunan Islam Pulau Pinang.
“Kita membawa pendekatan menerang berasaskan fakta bukan menyerang dan tidak boleh dinafikan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan PH memberi perhatian tinggi kepada agenda pembangunan Islam di negeri ini.
“Dari konteks kitaran ekonomi pula, negeri ini semakin membangun dan secara langsung akan membuatkan kutipan zakat bertambah sekali gus mampu memantapkan serta memajukan lagi syiar Islam.
“Jadi bagi saya sekiranya fakta betul dan tepat diperoleh khususnya dalam kalangan anak muda, saya kira gelombang hijau ini tidak akan wujud sama sekali,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.
Terdahulu beliau diiringi jentera PH dan Barisan Nasional (BN) mengadakan Walkabout di Pasar Malam Bukit Gedung, di sini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai manifesto bagi DUN Batu Maung serta penerimaan penduduk, Mohamad berkata, penerimaan rakyat cukup positif kerana kesinambungan yang diberikan wakil rakyat BN dan PH yang kini menjadi gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“DUN Batu Maung ini kesinambungan Kerajaan Perpaduan itu bagi saya telah wujud sejak 2004 apabila wakil rakyatnya daripada BN dan diikuti PH sehingga penggal lalu. Jadi, saya akan teruskan kesinambungan itu melalui teras Malaysia Madani.
“Selain itu, sekiranya diberikan mandat saya menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat DUN Batu Maung dari sudut agenda pembangunan ekonomi, pendidikan dan juga masalah berkaitan masyarakat setempat.
“Saya tidak akan mengamalkan konsep turun ke lapangan lima tahun sekali, InsyaAllah saya akan atur jadual sekurangnya-kurangnya sebulan sekali ke 10 Daerah Mengundi dalam DUN Batu Maung,” katanya.
DUN Batu Maung menyaksikan pertembungan dua penjuru membabitkan pertembungan Mohamad dengan Azahari Aris (Perikatan Nasional). – MalaysiaGazette
@malaysiagazette Calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung, Prof Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid optimis mampu mengubah perspektif gelombang hijau dengan fakta syiar Islam terserlah di Pulau Pinang sejak 2008. malaysiagazette mgnews mgprn15 rakyatmemilih pilihanraya pilihanrayanegeri prn15