KUALA PILAH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Datuk Ismail Lasim menganggap perbezaan usia bukan faktor yang menjauhkannya dengan pengundi muda.
Bagi mendekati golongan tersebut, beliau dan jenteranya menggerakkan Program Santai Anak Muda sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ismail, 64, yakin kaedah itu lebih sesuai berbanding aktiviti sukan memandangkan tempoh kempen agak singkat.
“Program Santai Anak Muda lebih selesa dan mereka boleh berinteraksi menyampaikan hasrat mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Jom Mengacau Dodol di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Bemban di sini hari ini.
DUN Senaling bukan asing bagi Ismail kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan itu selama empat penggal mulai 1999 hingga 2018 sebelum berhijrah ke DUN Juasseh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Sehubungan itu, beliau yakin mempunyai kelebihan kerana ramai pengundi mengenalinya.
Pada masa yang sama, Ismail percaya pesaingnya dari Perikatan Nasional (PN), Amrina Mohd Khalid mempunyai kelebihan sebagai calon wanita.
Sekiranya dipilih semula sebagai ADUN Senaling, beliau merancang untuk menaik taraf kemudahan awam dan infrastruktur di kawasan tersebut.
Ismail juga pernah berkhidmat sebagai Exco Kerajaan Negeri Sembilan mulai 2004 hingga 2018. – MalaysiaGazette