Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff di Universiti Putra Malaysia .

KUALA LUMPUR – Malaysia boleh mengulangi kegemilangan empayar Islam Uthmaniah melalui Wakaf Madani yang diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023.

Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, beliau menyambut baik usaha Kerajaan ini. Aset bernilai lebih RM1 bilion dalam Wakaf Madani boleh digunakan untuk membangunkan ekonomi negara dan umat Islam.

Perkembangan tamadun Islam dan empayar Islam terutama Uthmaniah telah dijayakan melalui konsep wakaf, jelas beliau.

“Kehebatan wakaf ini ia bersifat mampan. Kalau kita bercakap pasal zakat dapat daripada pemberi diagihkan, terus habis macam itu. Sedekah dapat, agih dan habis macam itu. Qardhul hasan kita beri pinjaman dan perlu bayar balik. Ia bersifat sementara.

“Kita masih memerlukan orang dengan pendapatannya untuk memberi zakat, sedekah dan qardhul hasan.

“Tapi wakaf lain, aset sentiasa digunakan untuk menjana pendapatan dan selepas itu diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya yang amat menyokong kewujudan Wakaf Madani,“ katanya.

Ahmed Razman menjelaskan bahawa, kerajaan Uthmaniah yang merupakan khalifah terakhir umat Islam, tumbang selepas meminggirkan konsep wakaf dan bergantung kepada hutang luar terutama bagi membiayai kos Perang Dunia Pertama.

Katanya, sehingga kini tidak ada mana-mana negara Islam membangunkan dan menggunakan harta wakaf secara sistematik seperti di zaman Uthmaniah.

“Peringkat kerajaan masih belum lagi kerana mereka masih amalkan sistem ekonomi berasaskan hutang. Kalau mereka perlu duit, mereka pinjam, cetak duit dan buat polisi fiskal untuk beri duit kepada rakyat.

“Tapi kalau wakaf ini, ia datang daripada komuniti, individu dan bukan daripada kerajaan,” katanya.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, langkah kerajaan menubuhkan Wakaf Madani amat tepat pada masanya.

“Jawatankuasa ini adalah satu arah tuju yang baik kerana aset umat Islam banyak dan kita kena tunjukkan kalau diwakafkan, ia boleh meningkatkan taraf ekonomi orang Islam.

“Wakaf menawarkan ganjaran selepas mati yang mengalir kebajikan. Wakaf juga merupakan alat untuk mengatasi sistem riba,” kata Mohd. Azmi.

Mereka turut menyambut baik pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2023 untuk mengasingkan sepenuhnya simpanan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memberikan pulangan yang kompetitif kepada 1.25 juta ahli yang akan bermula pada 2024.

Mohd. Azmi menegaskan bahawa, skim syariah KWSP perlu dikendalikan dengan profesional dalam memastikan dividen kepada penyimpan syariah tinggi seperti simpanan konvensional.

Pulangan dividen yang tinggi dalam skim itu bukan sahaja meningkatkan tabungan penyimpan, tetapi juga membantu membangunkan syarikat patuh syariah dan memberi keyakinan kepada bukan Islam mengenai ajaran Islam.

“Aset ekonomi Islam yang dapat dicairkan dan dapat dimasukkan dalam pelaburan patuh syariah akan berkembang dan itu akan membantu kewangan Islam dalam negara ini.

“Penyimpan akaun bukan Islam akan melihat simpanan syariah ini berjaya dan mampu beri kesejahteraan sosial. Ini akan menarik minat mereka dan pencarum simpanan konvensional,” katanya.

Ahmed Razman juga berkata, masih banyak syarikat patuh syariah yang boleh diteroka oleh KWSP.

Beliau memberi contoh syarikat sarung tangan getah yang mendapat keuntungan besar ketika pandemik dan Khazanah Nasional baru-baru ini melabur dalam syarikat Indonesia e-Fishery yang mulanya bernilai RM400 juta kemudian meningkat ke RM1.4 bilion.

“Pertanian ada potensi yang tinggi terutama kalau kita lihat kepada pertanian peringkat domestik.

“Kalau KWSP melabur dalam sektor pertanian tempatan, ia boleh mengurangkan kebergantungan kepada import dan itu akan memberikan pulangan yang tinggi.

“Kita sudah ada petani yang beralih daripada soya bagi makanan ternakan kepada cendawan dan, isi rong kelapa sawit. Ini memerlukan pengeluaran besar-besaran,” katanya memeberi cadangan.

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM1.5 bilion  sebagai usaha untuk memartabatkan syiar Islam di Malaysia.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan sumbangan khas RM600 kepada guru kelas agama dan fardu ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut. Elaun guru KAFA turut dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,100 yang akan memanfaatkan 35,000 guru.

Sejumlah RM150 juta diperuntukkan bagi tujuan menyelenggara sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat. -MalaysiaGazette