BRASILIA – Serbuan polis yang menyasarkan kumpulan dadah di tiga negeri di Brazil telah menyebabkan sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh.
Dalam operasi terbaharu di Rio de Janeiro, polis berkata, mereka berbalas tembakan di kawasan Complexo da Penha, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang.
Terdahulu, 16 orang maut dalam pertempuran semasa serbuan polis selama lima hari di negeri São Paulo, yang digelar Operation Shield.
Dan di negeri timur laut Bahia, polis berkata, 19 suspek telah terbunuh sejak Jumaat.
Seramai 58 orang telah ditangkap semasa operasi di negeri Sao Paulo, yang bermula selepas seorang pegawai polis pasukan khas terbunuh pada Khamis di bandar pantai Guaruja.
Polis merampas 385kg narkotik, serta senjata api, menurut media tempatan.
Operasi di Guarujá telah dikritik oleh Menteri Kehakiman Brazil Flavio Dino, yang berkata, reaksi polis tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan.
Semasa temu bual pada hari Selasa, Gabenor Sao Paulo, Tarcisio de Freitas berkata, dua pegawai polis adalah antara yang terbunuh semasa pertempuran.
Amnesty International berkata, serbuan polis Guaruja menunjukkan “tanda-tanda jelas untuk membalas dendam atas kematian seorang pegawai polis”.
Di Rio de Janeiro, ketua pengedar dadah dan pengedar adalah antara 10 orang yang terbunuh pada hari Rabu, menurut laporan media tempatan.
Empat yang lain cedera, termasuk seorang pegawai polis.
Menurut polis tentera bandar itu, operasi di Complexo da Penha dilancarkan selepas maklumat risikan mencadangkan bahawa mesyuarat ketua pengedar dadah akan berlangsung di kawasan itu.
Saksi memberitahu media tempatan mereka mendengar beberapa tembakan dan pertempuran antara anggota kumpulan bersenjata lengkap dan polis.
Taliria Petrone, ahli badan perundangan negeri Rio, mengecam operasi itu.
Sekolah di sekitar Complexo da Penha tidak dibuka pada hari Rabu, memaksa kira-kira 3,220 murid tinggal di rumah.
Lawatan rumah anjuran perkhidmatan kesihatan negara juga digantung kerana kebimbangan keselamatan.
Instituto Fogo Cruzado, sebuah organisasi yang meneliti data keganasan bersenjata di Brazil, menyifatkan serbuan itu sebagai “pembunuhan besar-besaran”. – Agensi