bekalan air bersih
Ahli Parlimen Jempol Datuk Shamsulkahar Mohd Deli bercakap kepada media selepas Program Sehati Sejiwa Masyarakat Orang Asli sempena kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) di Kampung Orang Asli Panchor, Jempol, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2023.

JEMPOL – Lima kampung Orang Asli, di sini, bakal menerima bekalan air bersih setelah peruntukan berjumlah hampir RM6 juta diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, projek tersebut melibatkan Kampung Sungai Kelebang, Kampung Jeram Padang, Kampung Sungai Raya, Kampung Sungai Temarom dan Kampung Lubuk Temenggalan.

Beliau juga telah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memohon agar projek tersebut dilaksanakan segera.

“Bagi projek bekalan air bersih di lima kampung tersebut, perunding dalam proses menentukan jajaran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sehati Sejiwa bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Panchor, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor mengumumkan kelulusan peruntukan tersebut oleh kerajaan.

Shamsulkahar menambah, apabila projek itu selesai dilaksanakan, ia akan menjadikan kesemua 11 kampung Orang Asli di sini menerima bekalan air bersih.

Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan turut meluluskan peruntukan bagi membina jambatan merentasi Sungai Muar bagi menghubungkan Kampung Panchor dan Kampung Batu Peti.

Shamsulkahar berkata, pembinaan jambatan tersebut akan mengurangkan jarak perjalanan antara kedua-dua kampung berkenaan.

“Jika tidak, mereka terpaksa berpusing kira-kira 30 kilometer untuk sampai walhal kampung mereka hanya dipisahkan oleh sebatang sungai,” jelasnya. – MalaysiaGazette