KAJANG – Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, S Arutchelvan mendakwa, Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya menjadikan Kajang sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah dalaman parti itu.
Katanya, ia bermula daripada kisah ADUN Kajang sebelum ini, mendiang Lee Kim Sin atau dikenali Cikgu Lee yang menang atas tiket PKR pada 2008.
Arutchelvan atau lebih mesra dengan panggilan Arul mendakwa, ia kemudian diikuti dengan ‘Kajang Move’ yang melihat isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang pada 2014.
“Dulu cikgu Lee kerana Cikgu Lee antara tiga ADUN yang tak sokong Azmin Ali (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dia ditendang keluar…ia bawa seorang calon dari luar.
“Lepas itu Kajang Move, Wan Azizah masuk. Lepas Kajang Move, Hee Loy San dari Petaling Jaya. Sekarang pula David Cheong daripada Kuala Langat. Jadi, ketiga-tiga ADUN yang dibawa bukan orang tempatan.
“Kita tidak mahu Kajang ini setiap kali ada (pilihan raya) orang dari luar tak tau apa itu Kajang. Menang kerana ada gambar Datuk Seri Anwar (Perdana Menteri). Itu hanyalah kempen mereka, tunggang atas nama perdana menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus melakukan walkabout bertemu pengundi di kawasan Taman Kajang Prima di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Arul yang juga Timbalan Pengerusi PSM berkata, sekiranya kerusi-kerusi yang ditandingi PSM boleh menang dalam PRN kali ini, parti itu boleh menandatangani perjanjian perkhidmatan keyakinan (CSA) dengan Pakatan Harapan (PH) yang pernah dibuat oleh kerajaan sebelum ini.
Katanya, parti itu boleh mendukung agenda reformasi kerana PSM sendiri merupakan satu parti berbentuk gerakan aktivis.
Ditanya, mengenai kempennya, Arul berkata, beliau bukanlah asing dengan penduduk di Kajang kerana ramai yang mengenalinya sebelum ini.
Tambah beliau, sepanjang kempen yang dilakukan sejak Sabtu lepas, pihaknya dan jentera menerima maklum balas yang baik daripada pengundi.
Meskipun, ada mendengar ‘cakap-cakap’ negatif daripada segelintir pengundi yang ditemui, namun semua itu dianggap sebagai satu cabaran ketika berkempen.
“Saya ingatlah, masyarakat kita (telah terdedah) dengan politik toksik. Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan saling menghentam dan kedua-duanya pun menggunakan isu perkauman,” dakwanya.
Sebelum ini, PSM mengumumkan parti itu meletakkan calon bertanding di kerusi DUN Dengkil, Meru, Kota Damansara dan Kajang bagi PRN Selangor.
PSM menjalin kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menawarkan kuasa ketiga bagi menghadapi PH-BN dan PN.
Bagi kerusi DUN Kajang, Arul akan mencabar David Cheong (PH) dan calon PN, Liew Sin Kim dalam pertembungan tiga penjuru. – MalaysiaGazette