POKOK SENA – Calon Perikatan Nasional (PN) Chuah See Seng (PN) berjanji akan memajukan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darul Aman sekiranya dipilih pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos.
Beliau yang juga Penyelaras DUN itu sebelum ini mengakui sedih dengan aktiviti di kawasan tersebut yang sunyi dan sepi terutamanya pada waktu malam hingga tiada tempat bersantai untuk dikunjungi
Beliau berkata, senario itu berbeza dengan Jitra yang meriah dengan orang ramai hingga lewat malam dengan pelbagai aktiviti disediakan.
“Jadi tarikh 12 Ogos ini sangat penting, tentukan nasib kita. Saya pasti PN akan tadbir Kedah kerana kalau kita beri kepada Pembangkang menang, lima tahun akan datang cuba fikir kawasan kita akan jadi macam mana.
“Saya tengok di Kota Darul Aman ini tidak ada apa, lepas pukul 9 malam sunyi sangat. Saya pun tidak tahu tinggal di pekan atau di kampung.
“Hendak pergi tempat santai pun tidak ada. Kita tengok Jitra, lagi maju dari Alor Setar. Saya cakap pun malu kerana itu penting untuk pilih wakil rakyat untuk majukan tempat kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama MB Kedah di Flat Alor Malai, di sini, semalam.
See Seng juga berjanji untuk mengutamakan aspek kebajikan jika pengundi memberi beliau peluang untuk berkhidmat untuk lima tahun akan datang.
Katanya, beliau akan meneruskan perkhidmatan bas pemeriksaan percuma di DUN Kota Darul Aman yang dilaksanakan sebelum ini.
“Saya pernah datang ke Flat Alor Malai ini membawa bas pemeriksaan kesihatan percuma untuk penduduk.
“Selepas periksa kesihatan baru penduduk diberi beras kerana saya mahu menggalakkan mereka di sini agar prihatin dengan kesihatan mereka.
“Ini kerana kesihatan perlu diutama apatah lagi selepas Covid-19 dan saya harap penduduk menjaga kesihatan dan saya berjanji kalau menang pada 12 Ogos sini, saya akan bawa lagi bas pemeriksaan percuma untuk penduduk di sini,” katanya.
Pada 12 Ogos ini, See Seng akan berdepan satu lawan satu calon Pakatan Harapan yang juga penyandang kerusi DUN tersebut, Teh Swee Leong.
Beliau menang dengan majoriti 8,468 undi menewaskan calon Barisan Nasional dan Pas ketika itu. – MalaysiaGazette