KLANG – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Gunaraj George mengalu-alukan keputusan MIC yang berikrar untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) dan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos..
Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa itu berkata, kenyataan awal parti itu yang enggan menurunkan jentera membantu calon PH agak membimbangkan.
“Namun setelah Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dan perbincangan, Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran tampil menyatakan sokongan kepada calon-calon kita. Terima kasih, kita dalam satu kerajaan sama.
“Apabila kita bergabung menjadi satu, kekuataan itu sangat luar biasa dan ia pasti akan membawa kemenangan besar buat kerajaan perpaduan yang agenda utamanya adalah untuk rakyat. Ini yang paling penting,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Semalam, Vigneswaran memberi jaminan parti itu akan membantu dalam gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon-calon Kerajaan Perpaduan pada PRN di enam negeri selain menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri untuk tempoh lima tahun. – MalaysiaGazette