orang asli
Datuk Ramli Mohd Nor

JEMPOL – Semua calon yang bertanding dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dinasihatkan supaya tidak melupakan masyarakat Orang Asli sekiranya mereka menang kelak.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, mereka seharusnya sedar bahawa masyarakat Orang Asli merupakan kumpulan termiskin di negara ini.

Menurut beliau, tumpuan perlu diberikan terhadap usaha mengeluarkan masyarakat Orang Asli daripada kepompong kemiskinan.

“Apa yang telah dijanjikan perlu dilaksanakan tanpa memikirkan kepentingan diri.

“Beri keutamaan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sehati Sejiwa bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Panchor, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Cameron Highlands itu memberitahu, pengundi dalam kalangan Orang Asli dilihat masih teguh menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau menambah, atas sebab itu, mereka perlu disantuni dan dilayani sebaik mungkin.

“Perlu beri tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, minda, pendidikan dan ekonomi Orang Asli,” jelasnya. – MalaysiaGazette