JEMPOL – Kecederaan yang dialami calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir akibat kemalangan jalan raya Isnin lalu menyebabkan aktiviti kempennya terbatas.
Beliau kini perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak memandangkan kakinya masih lagi bengkak.
Mohd Zaidy berkata, doktor juga menasihatkannya agar tidak terlalu lasak kerana khuatir akan menyebabkan kesan sampingan terhadap kakinya.
“Memandangkan saya tak boleh pergi ke tempat-tempat yang muka buminya tidak rata, saya kena pilih tempat-tempat yang memudahkan saya berkempen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sehati Sejiwa bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Panchor, di sini, hari ini.
Mohd Zaidy sebelum ini menerima rawatan di Hospital Jempol setelah kakinya patah akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira pukul 3 pagi, 31 Julai lalu.
Insiden berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu Mohd Zaidy terbabas ketika dalam perjalanan ke Palong dari arah Bahau.
Pembantunya, Muhammad Khairul Ahnaf Baharom yang menaiki kenderaan sama dilaporkan parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk menerima rawatan. – MalaysiaGazette