KUBANG PASU – Calon Barisan Nasional (BN) DUN Bukit Kayu Hitam, Zainal Abidin Mohamad, 65 berkata, rata-rata pengundi yang didekati dalam siri kempen pilihan raya negeri (PRN) mahu parti itu menang.
Sambutan positif itu mendorong Zainal Abidin atau lebih mesra disapa Cikgo Non meningkatkan lagi keyakinannya untuk mendekati pengundi dan berusaha sehabis baik untuk menyumbangkan kerusi kepada Kerajaan Perpaduan.
“Kita mesti jadikan DUN Bukit Kayu Hitam milik kita, saya yakin dengan izin Allah kebangkitan hari ini merupakan satu yang amat luar biasa sedang melanda.
“Buktinya bila kita turun melawat di tiap-tiap cawangan, sambutan pengundi amat memberangsangkan. Saya lihat sendiri bila turun kempen calon pagi tadi boleh dikatakan semua mahu kami menang pada PRN kali ini.
“Ayat inilah yang buatkan saya penuh bersemangat walaupun tidur tidak cukup sejam dua jam sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut, Cikgu Non berkata, tidak mustahil untuk BN menang disebabkan PRN kali ini menyaksikan hanya dua parti yang bertanding berbanding tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), pada 2018 lalu.
“Saya rasa semakin bersemangat nak buat kerja sebagai ADUN dan saya yakin dengan kekuatan keluarga kita semua ini, pada 12 Ogos diisytiharkan DUN Bukit Kayu Hitam milik BN.
“Bukan mustahil walaupun sebelum ini kita kalah 2,000 lebih undi namun semasa itu tiga penjuru sebab ada Pas, BN dan Pakatan Harapan.
“Tapi kali ini dua penjuru sahaja, antara BN dan PN, antara cikgu dengan bekas anak murid. Bagi saya dua penjuru ini akan beri kelebihan kepada PH-BN,” katanya lagi.
Pesara guru terbabit bakal berdepan bekas pelajarnya yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Halimaton memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 2,153 undi menerusi pertembungan tiga penjuru menentang Datuk Ahmad Zaini Japar (BN) dan Habshah Bakar (Pas). – MalaysiaGazette