Calon Barisan Nasional (BN) N17. Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bercakap kepada media sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Kampung Changkat, Gombak. Foto FAREEZ FADZIL, 03 OGOS 2023.

GOMBAK – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin tidak berdepan kesukaran ketika berkempen bertemu pengundi.

Ini kerana pimpinan parti terutama peranan yang dimainkan oleh Presiden Parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menjelaskan tentang pentingnya mewujudkan Kerajaan Perpaduan dalam negara difahami penduduk di kawasan Parlimen Gombak.

Malah, penjelasan yang sering dilakukan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis-majlis yang dihadiri orang ramai berjaya meyakinkan bahawa kerajaan sedia ada mampu membawa masa depan negara ke arah yang lebih baik.

“Saya melihat ia tak menjadi begitu sukar (berkempen) sebab pertama sekali kita mesti akui Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiap-tiap hari menjelaskan kepada rakyat.

“Saya fikir kalau lebih 30 juta rakyat Malaysia mereka dah faham kenapa pentingnya kerajaan perpaduan ini demi kestabilan.

“Kami di peringkat akar umbi ini hanya buat final touch up (kerja-kerja akhir) mengikut kesesuaian di kawasan masing-masing..

“…dan propaganda-propaganda yang dimainkan oleh pihak lawan walaupun diperingkat awal dilihat macam memberi tekanan dan kesan tetapi akhirnya satu demi satu mereka mula lihat kecenderungan untuk meyakini itu telah mula berkurangan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan walkabout mengedar risalah kempennya di Kampung Changkat, di sini, hari ini.

Megat Zulkarnain ditanya sama ada beliau menghadapi kesukaran ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang sedang berlangsung ketika ini.

Menurutnya, beliau turut menerima maklumat daripada jentera-jentera yang membantu kempennya apabila mengatakan sambutan amat baik diberikan oleh pengundi selain, mendapat kata-kata semangat dan perangsang daripada mereka.

Katanya, perkara itu diluahkan sendiri oleh pengundi terutama pengundi hitam dan kini mereka telah memahami.

“Kalau dulu pengundi itu memang hitam menolak kononnya sebab UMNO bersama dengan DAP, tapi yang terbaru ni dah tak ada.

“Mereka dah faham kerana mereka namoak tidak menampakkkan sebarang tekanan kepada kami parti-parti yang berteraskan kepada kaum,” ujarnya. – MalaysiaGazette